KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua
perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara di sini.
Mereka ialah Datuk Abdul Samad Othman yang akan menjadi Duta Besar
Malaysia ke Itali, Datuk Ahmad Nazri Yusof (Belanda), Zainol Rahim
Zainuddin (Arab Saudi) dan Mohammad Azhar Mazlan (Mexico).
Abdul Samad yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1983 pernah
menjadi Duta Besar Malaysia ke Yemen pada 2007 sebelum dilantik sebagai
Setiausaha Bahagian, Bahagian Afrika pada 2011 dan Setiausaha Bahagian,
Bahagian Asia Barat (2015).
Ahmad Nazri pula pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua
Protokol, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri sejak
2013.
Zainol Rahim sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi
Malaysia ke Kenya (2009) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah
Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik, Kementerian Luar pada 2011 dan
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan (JPDP) pada
2015.
Mohammad Azhar pula pernah memegang jawatan sebagai Konsul Jeneral di
Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Filipina pada 2009 sebelum
bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perancangan Dasar dan
Strategik pada 2012 dan Timbalan Ketua Pengarah, Penyelidikan dan
Penerbitan, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan
(SEARCCT) pada 2014.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri dan Ketua Setiausaha
Kementerian Luar Datuk Othman Hashim. – BERNAMA