KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
bertitah sikap berlebih-lebihan dalam berpolitik adalah tidak wajar dan
hendaklah dielakkan.
Titah Seri Paduka sebarang perbalahan dan perpecahan akan hanya
merugikan, bak kata pepatah Melayu lama, ‘yang menang akan menjadi
arang, yang kalah pula menjadi abu’.
“Bahkan, pihak-pihak lainlah yang akan mendapat keuntungan. Justeru,
Beta menyeru agar semua berwaspada dan beringat-ingat,” titah baginda
pada majlis menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang
dan pingat persekutuan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan
Rasmi di Istana Negara, di sini Sabtu.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri,
Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta tetamu kehormat
dan duta-duta.
Sebanyak 31 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan
daripada 1,773 keseluruhan penerima, menerima pingat kebesaran
masing-masing hari ini.
Sehubungan itu, Tuanku Abdul Halim menitahkan jangan sesiapa pun
mudah berasa lalai dan lupa hakikat sejarah, tentang bagaimana asal-usul
negara dibina, perjuangan-perjuangan terdahulu serta hal-hal teras yang
telah diputus dan dimeteraikan.
Baginda turut berharap semua pihak memberi ruang dan kesempatan
kepada perdana menteri serta kerajaan supaya sebarang kekusutan yang ada
dapat dirungkaikan.
“Apa-apa kelemahan yang wujud di sana-sini, dapat dibetulkan dan diperbaiki,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan sukacita kerana kepimpinan kerajaan
mempunyai peta wawasan dan kerangka pengurusan negara yang jelas dengan
objektif mencapai kemajuan melalui Dasar Transformasi Nasional.
Melalui Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan dan Program
Transformasi Ekonomi, titah baginda, Malaysia sedang berada pada
kedudukan dan landasan yang kukuh menuju ke sebuah negara berpendapatan
tinggi menjelang 2020.
“Beta diberi maklum bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) keseluruhan
bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA menjangkau 105 peratus
manakala KPI keseluruhan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pula
mencapai 110 peratus,” titah Seri Paduka.
Baginda turut menzahirkan kepercayaan bahawa kepengerusian ASEAN oleh
Malaysia pada tahun ini akan membawa manfaat sosioekonomi yang besar
kepada negara untuk tempoh jangka panjang.
Dalam titah baginda berhubung Rancangan Malaysia Ke-11 yang
dibentangkan perdana menteri baru-baru ini dengan menyasarkan pelbagai
usaha bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2016, baginda berharap
kerajaan berikhtiar bersungguh-sungguh.
Langkah itu bagi memastikan tiada golongan rakyat tercicir daripada
menikmati manfaat kemakmuran dan arus pembangunan negara, titah Seri
Paduka, yang turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan kerajaan di
bawah kepimpinan Najib bersama Muhyiddin. – BERNAMA