"Pecah kepala..." |
Ketika di alam sekolah menengah, pastinya ramai pelajar bercita-cita mahu
melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi awam bagi
mengejar sekeping sijil, diploma mahupun ijazah.
Banyak pilihan kursus yang ditawarkan di puluhan universiti awam
mahupun swasta di negara ini.
Ada antara penuntut yang bernasib baik
apabila diterima masuk ke kursus yang dipohon manakala sebahagian lagi
terpaksa akur dengan keputusan pentadbiran meletakkan mereka di
mana-mana kursus lain.
Hari ini, variasi kursus yang ditawarkan di Malaysia turut mendapat
perhatian penduduk luar negara yang berminat melanjutkan pelajaran
mereka di sini.
Ia berikutan penarafan tinggi sistem pendidikan di Malaysia dan juga
kos yang mampu ditanggung para penuntut luar yang ingin melanjutkan
pelajaran mereka.
Buat individu yang masih lagi tercari-cari kursus yang ingin diambil
ataupun individu yang ingin mencabar kemampuan diri melanjutkan
pelajaran dalam kursus kritikal, anda harus terus membaca artikel ini.
Di bawah merupakan senarai 14 kursus paling mencabar yang ditawarkan universiti-universiti di Malaysia.
1. Perancangan Bandar dan Kawasan (Urban and Regional Planning)
Profesion sebagai perancang bandar dan kawasan memerlukan individu
untuk merancang, mereka dan menguruskan persekitaran sesuatu tempat.
Dalam erti kata lain, kursus tersebut menggabungkan seni kreatif dan
sains dalam mencipta suasana harmoni untuk kehidupan yang lebih baik.
Dalam pasaran tempatan, ia memerlukan seseorang graduan untuk
merancang dan mereka penempatan awam serta bandar, manakala pada tahap
yang lebih tinggi, mereka perlu berhadapan dengan projek-projek mega di
tengah-tengah kota pesat membangun.
2. Perakaunan (Accountancy)
Pastinya, kursus perakaunan memerlukan seseorang penuntut untuk
sentiasa mengaplikasikan ketepatan dan integriti ketika berurusan dengan
digit. Di Malaysia, kursus tersebut berada pada paras kritikal kerana
penetapan standard tinggi. Sebagai contoh, di Universiti Malaysia
Kelantan (UMK), kursus itu ditawarkan pada mod sepenuh masa selama 8
semester.
Pelajar diperlukan untuk melalui latihan industri selama 6 bulan
ketika cuti semester pada tahun ketiga manakala penilaian juga dibuat
pada kadar 60 peratus untuk peperiksaan akhir dan bakinya untuk tugasan.
3. Juruukur Bahan (Quantity Surveying)
Umum sedia maklum, Malaysia kini sedang membangun pesat dengan
pembinaan banyak bangunan dan infrastruktur. Tugas juruukur bahan adalah
lebih kepada pengurusan efektif terhadap kos pembinaan, perolehan
projek serta pentadbiran kontrak serta memberi nasihat dalam pembangunan
ekonomi dan urusan berkaitan kontrak.
4. Undang-Undang
Kursus undang-undang pastinya antara kursus paling susah yang
ditawarkan di mana-mana sahaja, tak terkecuali Malaysia. Ia antara
pengajian profesional, malah kebanyakan ibu bapa teruja untuk memiliki
anak yang mengambil kursus undang-undang.
Apapun, ia bukanlah jalan yang senang untuk menamatkan pengajian dan
mengenggam segulung sijil. Kursus tersebut mempunyai banyak istilah yang
perlu diingati dan pastinya akta-akta yang diwartakan.
Kebanyakan pelajar mengakui bahawa ia susah kerana subjek yang
kompleks. Bukan itu sahaja, kursus undang-undang juga menjadi antara
kursus yang termahal dari segi yuran pembelajaran, dan ini menyebabkan
mahasiswa terpaksa memikirkan dua masalah; bagaimana untuk melangsaikan
yuran serta bagaimana untuk lulus peperiksaan.
5. Bioinformatik (Bioinformatics)
Kursus bioinformatik merupakan kursus yang ditawarkan untuk
mengembangkan teknik dan kelengkapan perisian bagi memahami data
biologikal. Sebagai salah satu cabang dalam sains, ia menggabungkan
sains komputer, statistik, matematik dan kejuruteraan untuk memahami
proses data biologikal.
Mengambil kursus tersebut di Malaysia memerlukan seseorang penuntut
untuk memahami biologi, bioteknologi dan teknologi maklumat. Antara
kegunaan bioinformatik adalah untuk mengenal pasti gen dan nucleotides (SNPs).
6. Perniagaan Antarabangsa (International Business)
Kursus ini juga bukan calang-calang. Ia memberi informasi kepada
penuntut untuk memulakan perniagaan mahupun menguruskan syarikat dalam
pasaran global, dengan mempelajari pelbagai budaya, sejarah perniagaan,
hubungan antara pekerja, ekonomi dan sistem politik. Di Olympian College
Malaysia, kursus Perniagaan Antarabangsa sangat komprehensif dan
membekalkan penuntut dengan cara pengurusan betul, budaya asing,
persekitaran perniagaan global.
7. Teknologi Maklumat (Information Technology)
Ketika dunia semakin berkembang ke arah tanpa sempadan, keperluan
untuk pakar IT semakin banyak. Jika penuntut berminat untuk melanjutkan
pelajaran dalam bidang ini, mereka harus bersedia. Banyak kolej
menawarkan diploma dalam bidang tersebut untuk mengembangkan kemahiran
perkomputeran dalam disiplin teknologi dan saintifik memberi pendidikan
sebelum menjadi seorang programmer dan pencipta perisian.
8. Perubatan (Medicine)
Mempelajari bidang perubatan selalunya akan turut mempelajari
pembedahan surgeri. Penuntut perlu melepasi kesemua ujian sebelum
melangkah ke fasa seterusnya bagi mempelajari subjek lain. Selain itu,
peperiksaannya juga kompleks. Ulang kaji yang intensif sangat diperlukan
dan kebanyakan masa penuntut akan dihabiskan dengan belajar daripada
beriadah. Sanggup?
Penuntut bidang perubatan juga sering diletakkan di bawah tekanan
kerana tugasan mereka melibatkan nyawa manusia dan kesilapan kecil mampu
mengancam pesakit. Pengajian ini juga boleh menjadi satu ketakutan
apabila penuntut harus berurusan dengan bangkai, darah dan pesakit yang
cedera.
9. Biologi Molekul (Molecular Biology)
Kejuruteraan biomolekul adalah aplikasi amalan kejuruteraan dan
prinsip-prinsip untuk memanipulasikan molekul asal biologi. Kejuruteraan
kimia melibatkan manipulasi molekul bukan biologi. Kedua-duanya saling
berkaitan dan selalunya diambil bersama-sama dalam kebanyakan institusi
di Malaysia. Kebanyakan subjeknya mencabar yang mana ia melibatkan
pengajian struktur, fungsi dan ciri-ciri.
10. Sains Politik (Political Science)
Kursus sains politik adalah sebahagian dari sains sosial yang
berkaitan dengan sistem kerajaan dan analisis aktiviti politik dan
tindakan dalam politik. Ia turut berkait rapat dengan amalan teori dan
praktikal dalam politik. Andai ada penuntu yang berminat melanjutkan
pelajaran dalam kursus berkenaan di Malaysia, mereka perlu menjadi
pemerhati terhadap landskap politik Malaysia.
11. Pengurusan & Operasi Hotel (Hotel Operations & Management)
Di Olympia College Malaysia, pelajar yang ingin menuntut dalam bidang
tersebut perlu bersedia untuk menimba ilmu dalam subjek asas seperti
Industri Hospitaliti, Aplikasi Komputer, Kebersihan dan Keselamatan,
Pengajian Makanan, Pengurusan Rumah dan banyak lagi. Melalui penilaian,
latihan keras dan implementasi teknologi terbaru, penuntut akan dilatih
untuk mengendalikan hotel pada tahap optima.
12. Bahasa Inggeris (English Language)
Pengajian bahasa Inggeris selalunya diambil oleh pelajar yang ingin
mempelajari bahasa kedua selepas bahasa ibundanya. Arahan pengajian dan
tugasan pelajar dan latar belakang budaya merupakan antara latihan asas
terutama kepada mereka yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai
bahasa utama perbualan.
Latihan intensif bahasa Inggeris dibuat beberapa bulan sebelum kursus
sebenar bermula. Hampir kesemua kursus berkenaan bahasa Inggeris boleh
membantu pelajar untuk membaca dan menulis serta bercakap dan kemahiran
mendengar.
13. Rekaan Grafik (Graphic Design)
Rekaan Grafik merupakan satu proses komunikasi visual dan proses
menyelesaikan masalah melalui penggunaan unsur ruang, imej dan
sebagainya. Bidang ini dianggap sebagai subset kepada komunikasi visual
dan reka bentuk komunikasi. Terdapat beberapa tawaran kursus berkenaan
universiti mahupun kolej di sini, dan ia akan menggabungkan kreativiti
penuntut dengan naluri perniagaan dan matlamat industri.
14. Kejuruteraan (Engineering)
Kejuruteraan bermaksud mengaplikasikan unsur saintifik dan
pengetahuan praktikal dalam usaha untuk mencipta, mereka, membina,
mengekalkan, membuat kajian dan menaiktaraf struktur, mesin, alatan
elektronik, sistem dan sebagainya. Beberapa institusi menawarkan peluang
melanjutkan pelajaran dalam kursus tersebut, namun tidak mudah untuk
layak diterima, malah lebih teruk lagi untuk meneruskan pengajian pada
setiap semesternya. -Kedahnews.com