KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas berkenaan dakwaan dana disalurkan
ke dalam akaun bank Perdana Menteri telah memerintahkan pembekuan enam
akaun bank pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam kes itu.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri
Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim
Mohamed mengumumkan demikian dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Mereka berkata, pasukan itu semalam juga telah mengambil
dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun dari dua buah bank bagi membantu
siasatan.
“Pasukan Petugas Khas juga telah mengambil dokumen-dokumen melibatkan
isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia
oleh bank terbabit,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut nama pemilik-pemilik akaun dan bank-bank yang terlibat.
“Siasatan masih berjalan. Justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru
kepada semua pihak agar memberi kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan
siasatan,” ujarnya. – BERNAMA