Rohaidzat menunjukkan gambar suspek yang berjaya dirakam melalui CCTV di pejabatnya. |
KULIM - Seorang pemilik pusat servis kenderaan rugi ratusan ribu ringgit apabila tiga kereta yang di parkir di halaman rumahnya dekat Taman Desa Sentisa, Lunas dikebas pencuri awal pagi, semalam.
Mangsa, Rohaidzat Abu Bakar, 32 berkata, sebuah kereta Proton Perdana miliknya, Proton Wira serta Perodua Viva milik rakannya yang dihantar untuk dibaiki dilarikan tiga pencuri kira-kira jam 2.45 pagi.
Menurutnya, dipercayai ketiga-tiga suspek memotong mangga pagar sebelum memecahkan pintu pejabat dibina di halaman rumah untuk mengambil kunci tiga kereta tersebut.
“Ketika kejadian saya tidur di dalam rumah bersama isteri dan tiga anak.
“Saya hanya sedar pagi tadi ketika bangun untuk pergi bekerja. Dua kereta rakan saya itu sengaja diletakkan di rumah sebelum dibawa ke pusat servis yang terletak tak jauh dari sini," katanya.
Rohaidzat berkata, apabila dia memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang menghala ke halaman rumah, dia melihat tiga lelaki masuk dan larikan kereta berkenaan.
Katanya, sebelum ini kejadian rompakan telah berlaku di lokasi yang sama dan melibatkan kerugian ribuan ringgit apabila sejumlah wang tunai serta komputer riba yang diletakkan di dalam pejabat diambil pencuri.
“Awal tahun lalu pejabat saya telah dipecah masuk, sebab itu saya pasang CCTV untuk langkah keselamatan. Sesiapa yang menjumpai kereta tersebut boleh menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian