Gambar Hiasan |
GEORGETOWN – Menjadikan bulan Ramadan sebagai platform untuk
menggalakkan masyarakat melakukan amal jariah, seorang pencinta haiwan
mengorak langkah dengan menganjurkan program #ProjekKucingGelandangan
bertujuan memberi makanan kepada kucing jalanan.
Sudah menjadi kelaziman golongan anak yatim, warga emas dan
gelandangan menerima bantuan daripada orang perseorangan, badan-badan
korporat dan pertubuhan bukan kerajaan sepanjang bulan Ramadan ini,
tetapi bagi haiwan ia sesuatu yang kurang diberi perhatian.
Namun, berlainan pula bagi Zeti Norin Omar, 32, yang mengambil
pendekatan berbeza dengan memberi makanan kepada kucing jalanan atau
kucing gelandangan di negeri ini pada bulan yang mulia ini menerusi
program itu.
Walaupun sebelum ini beliau sangat aktif dengan aktiviti sedemikian,
Zeti Norin menggunakan bulan Ramadan ini untuk mengilhamkan projek itu
bagi mengumpul lebih ramai ‘feeder’ atau penyumbang makanan untuk turut
serta.
“#ProjekKucingGelandangan ini memang saya buat bermula 1 Ramadan
lepas untuk menggalakkan orang ramai membantu para ‘feeder’ menyediakan
makanan terutamanya makanan kering. Kami sasarkan tempat-tempat seperti
astaka makanan dan medan selera.
“Kalau bukan bulan puasa ramai orang memberi makanan kepada
kucing-kucing terbiar ni. Tapi pada bulan puasa kita tahu di waktu siang
tak ada yang berniaga, tak ada orang yang nak bagi makanan. Jadi, kita
galakkan orang ramai taja satu beg makanan RM50 di mana saya akan
mengedarkan kepada ‘feeder’.
“Kami ada beberapa ‘feeder’ yang dah melakukan aktiviti ini sepanjang
tahun. Untuk bulan puasa ini saya ada rekrut ‘feeder’ baharu, saya ajar
mereka macam mana nak beri makan kucing-kucing ini,” katanya kepada
Bernama.
Beliau berkata setakat ini pihaknya berjaya mengumpul 15 bungkus
makanan kucing dengan setiap bungkusan seberat tujuh kilogram yang
diperoleh hasil sumbangan orang perseorangan dan wang sendiri.
Katanya sehingga kini seramai tujuh ‘feeder’ menyertai program itu di
beberapa kawasan tumpuan iaitu di Bayan Baru, Relau, Balik Pulau, Batu
Maung, Air Itam dan Jelutong.
Setiap ‘feeder’ perlu memberi makanan kepada kucing
sekurang-kurangnya dua kali sehari pada sebelah pagi dan malam, kata
Zeti Norin.
“Kami akan cuba dapatkan penaja sebanyak mungkin dan kami akan buat
‘bank makanan’…’bank makanan kucing terbiar’. Kalau ada penaja baharu
dan baki makanan yang dikumpul, saya akan terus bagi makanan (kepada
kucing) sepanjang tahun atau sampai tahun depan,” katanya.
Zeti Norin berkata orang awam yang berminat untuk menjadi ‘feeder’
atau memberi sumbangan boleh melayari laman Facebook Zetty Petzilla Cat
KuchentaCattery untuk maklumat lanjut.
Sementara itu, seorang ‘feeder’ Surena Md Daud, 43, berkata beliau
sudah lali dengan gelaran ‘mak kucing’, ‘gila kucing’ dan ‘meow meow’
yang diberikan oleh masyarakat setempat berikutan minatnya terhadap
kucing.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 14 tahun itu berkata beliau
mula menjadi ‘feeder’ sejak 10 tahun lepas dan setiap hari beliau
menyediakan dua hingga tiga kilogram ikan mentah untuk diberi kepada
kucing jalanan di Kompleks Sri Aman, Relau dekat sini.
“Kena marah hampir bertumbuk tu biasa. Ada yang tendang kucing yang
tengah makan, saya tegurlah dan dia cakap kasar hampir bertumbuklah.
Saya pun tak mahu benda ni berpanjangan sebab saya takut bila saya tak
ada mereka ambil kesempatan bunuh kucing-kucing ini,” katanya.
Surena berkata beliau memperuntukkan RM500 setiap bulan untuk membeli ikan mentah dan whiskas. – BERNAMA