PUTRAJAYA – Pemantauan harga terhadap 21 jenis barangan yang
disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena
Aidilfitri tahun ini akan bermula hari ini sehingga 23 Julai, kata Menteri
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan
Malek.
Beliau berkata Skuad Pengguna dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)
akan turut membantu melakukan pemantauan terhadap 21 barangan tersebut.
“Kita juga meminta kerjasama daripada rakyat keseluruhannya untuk
melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah di pasaran
kepada kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo
Mega Raya Putrajaya 2015 di Dataran Putrajaya di sini semalam, anjuran
Kelab Usahaniaga Bumiputera Malaysia dengan kerjasama Perbadanan
Putrajaya.
Hasan berkata jika terdapat peniaga yang menjual lebih daripada harga siling yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil.
“Kita tiada kompromi (dari segi tindakan), kerana bekalan dalam
pasaran adalah mencukupi, maka tiada alasan untuk peniaga menaikkan
harga.
“Pada hemat saya sekiranya terdapat kenaikan harga barangan, peniaga
harus disalahkan kerana harga ditetapkan melalui perbincangan bersama
pihak berkaitan seperti penetapan harga ayam adalah input daripada
persatuan penternak dan pihak veterinar,” kata Hasan.
Penganjuran Ekspo Mega Raya adalah yang pertama kali diadakan dengan
penyertaan sebanyak 280 usahawan Bumiputera dengan jualan produk dan
barangan raya. – BERNAMA