Gambar Hiasan |
ALOR SETAR - Kedatangan Aidilfitri pastinya dinantikan oleh seluruh umat Islam di dunia, namun ia dianggap berbeza ataupun langsung tidak memiliki keistimewaan buat golongan gelandangan.
Apakan daya, ada gelandangan hanya tinggal sebatang kara menumpang teduh di tepi jalan, tanpa bantal sebagai alas mahupun selimut untuk menutupi badan dari sejuk.
Bagi mereka, sesuap nasi untuk mengenyangkan perut, tempat tidur demi melelapkan mata dan hari-hari bakal dilalui lebih penting dari hari raya sekali setahun.
Sinar Harian berkesempatan menyelami harapan sekumpulan gelandangan pada program Jejak Cinta Ramadan anjuran Puspanita di sekitar bandaraya Alor Setar, kelmarin.
Baju raya hanya angan-angan
Warga emas, Johari, 60, berkata, dia menjalani kehidupan sebagai golongan gelandangan sejak keluar dari rumahnya di Jeniang ketika berusia awal 20-an.
"Pakcik keluar merantau ke merata-rata tempat mencari pekerjaan demi sesuap nasi dan tidak pernah pulang ke kampung halaman sejak itu.
"Pakcik ada empat adik beradik, namun kini semua ahli keluarga pakcik termasuklah ibu dan ayah sudah tiada. Tinggallah pakcik sebatang kara sebgini," katanya.
Menurutnya, dengan kudrat yang ada dia mengambil upah membantu di pasar basah namun hanya mampu memperoleh pendapatan antara RM5 sehari.
"Disebabkan itu pakcik tak mampu nak beli baju raya seperti diimpikan.
"Pakcik berhasrat memiliki baju baru terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri nanti, namun tak ada duit yang mencukupi," katanya.
Beraya di pasar basah
Manakala Hashim, 67, berkata, sambutan Aidilfitri seolah-olah tidak bermakna lagi bagi dirinya memandangkan dia hanya beraya seorang diri tanpa keluarga di sisi.
Walaupun memiliki ahli keluarga namun katanya, dia terpaksa meraikan Aidilfitri bersendirian sejak keluar dari rumah disebabkan masalah keluarga yang dihadapi.
Hashim berkata, kedatangan Syawal diibaratkan sama seperti hari-hari biasa bagi golongan sepertinya kerana dia hanya merainya di pasar basah.
Perkara sama dilakukan dua anak beranak, Abdul Malik, 41, dan Mohd Ilyas, 20, cuma bezanya mereka masih memiliki sanak saudara untuk diziarahi.
Malik berkata, dia dan anak lelakinya berkemungkinan pulang ke kampung halaman seketika bagi menziarahi orang tuanya pada pagi Aidilfitri nanti.
"Kami hanya membuat persiapan hari raya ala kadar sahaja memandangkan isteri sudah pun meninggal dunia.
“Apa yang ada, itulah yang akan kami berdua pakai. Kemungkinan Aidilfitri kali ini, saya dan anak akan pulang ke rumah mak, ataupun beraya di pasar bersama rakan senasib sahaja,” katanya.
Keluhan si gelandangan dapat simpati
Sementara itu, Pengerusi Puspanita Kedah, Datuk Che Barni Mohd Noor berkata, pihak mereka turun padang mengedarkan kira-kira 60 bungkus makanan sahur sambil menyelami permasalahan gelandangan.
Menurutnya, mereka melawat beberapa kawasan tumpuan si gelandangan antaranya seperti Pasar Kampung Berjaya dan sekitar Pekan Alor Setar.
"Mereka tidak minta dijadikan gelandangan sebegini, sebaliknya keadaan hidup seperti cerai ataupun dibuang keluarga menyebabkan mereka menjauhkan diri dari masyarakat," katanya.
Che Barni berkata, program outrech dilaksanakan bagi menyelami keadaan gelandangan sekali gus mendekatkan mereka dengan masjid dan masyarakat semula.
“Ada gelandangan didapati sakit, malah ada pula kehilangan kad pengenalan. Untuk itu, kita cuba membuat membawa kes mereka kepada agensi terlibat,” katanya.
Katanya, pihak mereka juga akan cuba menambah baik beberapa aspek seperti pemberian peralatan pembersihan diri seperti berus gigi, selain makanan kepada golongan ini.
Terdahulu, lebih 30 gelandangan ditemui di Pasar Kampung Berjaya pada program anjuran Puspanita Kedah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah dan Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK).
Sumber: Sinar Harian