Aidilfitri: Demi Nyawa Orang, Tolong Jangan Guna Laluan Keselamatan

Gambar Hiasan
TUMPAT – Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak menggunakan laluan kecemasan ketika berlaku kesesakan jalan raya kerana boleh menjejaskan kerja-kerja keselamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata tindakan pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab itu akan menyukarkan tugas anggota keselamatan dan pasukan penyelamat seperti polis, bomba, ambulans dan lain-lain untuk tiba di lokasi berlakunya kemalangan.

“Jangan ambil kesempatan guna laluan kecemasan kerana ia akan menyukarkan bantuan untuk tiba di lokasi kemalangan.

Jika bantuan lambat sudah tentu ia akan jejaskan nyawa mangsa kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bencana banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor di sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Nor berkata sebanyak 291 anggota bomba yang terjejas akibat banjir di seluruh negara pada tahun lepas akan menerima sumbangan wang tunai.

“Setiap individu akan menerima antara RM500 hingga RM1,500 dan jumlah ini memang tidak mampu menampung jumlah sebenar kerugian mereka tetapi kita hargai pengorbanan mereka yang bertugas ketika banjir baru-baru ini,” katanya. – BERNAMA