KUCHING – Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pos
Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menawarkan kadar caj pengeposan istimewa
kad ucapan hari raya sebanyak 50 sen untuk destinasi seluruh negara.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pos Malaysia berkata tawaran
istimewa untuk semua saiz, bentuk, warna dan berat tidak lebih daripada
50 gram itu akan berakhir pada 13 Julai ini.
Harga biasa pengeposan surat bukan standard boleh mencecah sehingga 80 ke 90 sen setiap satu.
Ini merupakan tahun ke-10 berturut-turut Pos Malaysia menawarkan kadar promosi untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pos Malaysia juga berbangga kerana terus mendukung tradisi yang
menghubungkan rakyat Malaysia dengan keluarga dan rakan mereka, tidak
kira di mana semasa musim perayaan.
Para pelanggan dinasihatkan untuk mengepos kad Hari Raya awal bagi
memastikan kad ucapan mereka sampai kepada penerima sebelum Hari Raya
Aidilfitri. – BERNAMA