Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi |
KEPALA BATAS – Penduduk di Pulau Pinang yang akan bercuti dan balik kampung semasa perayaan Aidilfitri, dinasihat untuk mengisi borang balik kampung bagi memudahkan pemantauan polis.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata orang ramai boleh mendapatkan borang itu di mana-mana balai polis berhampiran atau muat turun daripada portal Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, borang itu harus dikembalikan kepada mana-mana balai polis berhampiran setelah diisi bagi memudahkan pihak polis merekodkan maklumat rumah berkenaan.
“Anggota kami akan membuat rondaan sepanjang musim perayaan ini dan pemantauan akan dibuat di kawasan-kawasan yang ramai penduduk telah balik kampung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama anggota polis Daerah Seberang Perai Utara malam tadi.
Katanya, pihak polis juga akan meningkatkan rondaan terutama di jalan raya utama dan lebuh raya pada musim perayaan dalam usaha mengurangkan kemalangan maut.
“Saya menasihati setiap pemandu dij alan raya ini memandulah dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab untuk memastikan perjalanan yang lancar sampai ke destinasi,” katanya. – BERNAMA