AIDILFITRI atau kembali kepada diri yang fitrah adalah matlamat Ramadan bila bertemu Syawal. Sebulan melalui tarbiah ruhiyyah (dalaman) para abid (ahli ibadah) berada di suatu puncak merayakan hari mulia ini dengan kesedaran dan keinsafan bahawa kembalinya kita ke asal diri dengan memiliki perasaan kasih sayang yang tinggi dan sifatnya menyantuni.
Sepanjang Ramadan tarbiah yang terjadi prasyarat membentuk jiwa dan watak baharu supaya islah dan transformasi yang terjadi tidak saja manusiawi berubah dari segi fikrah tetapi juga hati dan merintis jalan ke arah amal soleh. Ini pada idealnya. Mengukur keberkesanan Ramadan ialah perubahan sikap dan watak. Fokus Ramadan memberi tumpuan kepada pengukuhan dalaman diri (rohani) supaya ia memberi kesan kepada luaran diri iaitu amal dan perbuatan.
Ramadan membangun jiwa muttaqeen. Syawal, jiwa muttaqeen dihayati. Dari seorang yang lupa kepada Allah kembali mengingatinya betapa Allah itu Maha Rahman dan Maha Rahim. Lalu kita kembali kepada fitrah diri sebagai seorang yang pengasih dan penyayang.
Sebagai seorang pengasih dan penyayang kita menginsafi bahawa dulu kita ini sombong dan mempunyai ego diri yang tinggi. Jiwa rukuk dan sujud yang dibangunkan memberikan kita kesedaran bahawa kita ini adalah ibadullah iaitu hamba-Nya. Sebagai abid (ahli ibadah) kita dididik sebagai orang yang akur, taat, patuh dan tunduk kepada titah-perintah-Nya.
Kita boleh ukur perubahan diri bila watak mazmumah (keji) berubah kepada watak mahmudah (terpuji). Kita menjadi seorang yang penyabar dan penyayang. Kalau dulu kita ini seorang yang gopoh, berubah menjadi lebih tenang. Kalau dulu sifat ihsan atau belas kasihan jarang terdapat, melalui Ramadan sifat ihsan iaitu kepedulian kepada orang lain mula terjadi.
Perubahan sikap dan gelagat ini penting kerana natijah akhir Ramadan ialah kesan penghayatan. Aidilfitri dilihat sebagai hari kemenangan. Menang dari hasutan iblis dan syaitan. Menang dari nafsul amarah bissuk (hawa nafsu yang buruk). Menang kerana dulu suka membenci dan berdendam dan kini menjadi orang yang lebih tawaduk.
Kembali kepada fitrah diri sesuatu yang amat utama. Diri ini pada asasnya memiliki potensi untuk menjadi baik. Diri ini pada hakikatnya suka yang makruf. Diri ini ada upaya untuk menjadi sumber teladan dan ikutan. Dan diri ini kalau digilap potensi rohaniahnya bakal cenderung melakukan amal soleh. Tarbiyyah Ramadan dalam bentuk penghayatan boleh melakukan islah ini.
Memiliki watak dan gelagat baharu menepati maksud kembali kepada fitrah diri dan kembali kepada Allah. Kembali kepada Allah menjalin ikatan ubudiyyah kepada-Nya. Ikatan ubudiyyah ini terlalu penting bagi kita kerana darinya kedekatan kita kepada Allah (taqarrub Ilallah ) terjadi.
Aidilfitri merapatkan hubungan sesama manusia. Allah tidak jadikan manusia dengan kedudukan dan status yang sama. Perbezaan kedudukan tidak menjadi sebab kita membeza-beza antara satu dengan lain. Kembalinya kita kepada fitrah mendidik hati supaya melihat faktor takwa sebagai karamah insaniah. Karamah insan diukur dengan kedekatan kita dengan Allah.
Orang yang dekat dengan Allah memiliki jiwa kehambaan yang tinggi. Jiwa kehambaan yang tinggi merintis jiwa kekhalifahan yang murni. Kita menjadi lebih manusiawi dan menyantuni.
Justeru sebulan dalam setahun tarbiah Ramadan yang dilalui harus dimiliki niat dan tekad, “Aku ingin berubah kerana Ramadan adalah proses islah”. Kalau ini gagal dilalui hikmah Ramadan menjadi kosong dan hampa dan ibadah kita tidak lebih sebagai ritual dan rutin.
Harus ada tekad yang tinggi untuk kita berubah. Umur kita semakin meningkat. Dosa kita mungkin semakin banyak. Perangai kita payah untuk berubah. Sekiranya perubahan tidak terjadi kita bakal mengulangi gelagat yang sama.
Akhirnya kita menjadi orang yang rugi dan menyesal. Kunci semuanya ini ialah keikhlasan dalam menjalani ibadah. Keikhlasan yang disertai dengan kesabaran harus mampu melihat ke dalam diri mengenai apa yang kita lakukan pada masa yang lalu dan bertekad untuk kembali ke fitrah. Sekiranya ini terjadi Allah bakal merahmati diri kita dan mengembalikan kita kepada fitrah. Dan itulah kemenangan yang hakiki.
Sumber: Utusan