Apandi Peguam Negara Baru, Gani Enggan Komen Khidmat Tidak Disambung


ALOR SETAR - Khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara yang tamat semalam, digantikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, hari ini.

Dalam satu kenyataan media berkenaan, Ali bagaimanapun menjelaskan bahawa Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada tarikh 6 Oktober 2015.

“Tan Sri Abdul Gani Patail telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas khidmat bakti beliau dan berharap beliau sentiasa beroleh kesihatan yang memuaskan,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Sementara itu, Abdul Gani turut dilapor enggan memberi sebarang komen berkenaan  khidmatnya sebagai Peguam Negara yang tidak disambung itu.

"Saya tak tahu, okey? Saya tak mahu buat sebarang kenyataan buat masa ini," kata beliau yang dipetik dari The Malaymail, seolah tidak tahu tentang tahap kesihatannya yang "kurang baik" untuk terus berkhidmat sebagai Peguam Negara.

Difahamkan bahawa tempoh perkhidmatan Abdul Gani ditamatkan pada 27 Julai 2015 atas sebab kesihatan.

Bagaimanapun, timbul pula desas-desus yang mengaitkan penamatan khidmat Abdul Gani dengan prestasi Pasukan Petugas Khas yang dikatakan mungkin lambat dan mengambil tempoh yang agak lama untuk menyiasat isu 1MDB sehingga menyebabkan kerajaan ditohmah dengan pelbagai persepsi negatif, termasuk dari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, perlantikan Mohamed Apandi pula dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamed Apandi berkelulusan LLB(Hons) Universiti of London dan Bar-At-Law, Inner Temple London serta telah mengikuti pengajian di Institute of Advanced Legal Studies, London.

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau adalah sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Timbalan Pendakwa Raya bagi Kelantan dan Terengganu, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia dan Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia. -Kedahnews.com