AWAS! "Vape" Perisa Ganja, Ketum Mula Menular Di Pasaran


Rokok elektronik (vape) yang kini mudah didapati di pasaran bertujuan untuk mengawal ketagihan perokok tegar terhadap nikotin tetapi telah mula disalahguna sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, sejauh manakah jaminan penggunaan vape itu memandangkan ia kini dijadikan sebagai ‘peranti rahsia’ oleh penagih dadah untuk mengambil bahan terlarang itu secara moden dan sukar dikesan.

Perisa-perisa yang ‘pelik’ seperti ketum dan kanabis telah mula menjengah pasaran tempatan sekaligus menimbulkan persoalan mengenai tahap relevan penggunaan vape sebagai pengganti rokok tradisi.

Hati-hati dengan rokok elektronik atau vape yang selama ini diragui dari sudut kesihatan tetapi popular dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 2010.

Kini, rokok yang sepatutnya berfungsi untuk mengawal ketagihan itu disalahguna dengan ciptaan baharu perisa ganja dan ketum bagi menyaingi perisa asal seperti mang­ga, coklat, kopi dan oren.

Modus operasi yang dipercayai didalangi sindiket dadah itu didedahkan oleh satu kumpulan peniaga vape yang mengadun sendiri perisa ‘istimewa’ tersebut.

“Sebelum ini, perisa seperti ini hanya dibawa masuk dari luar tetapi sejak kebelakangan ini memandangkan permintaan tinggi, kami terpaksa menghasilkan sendiri perisa tersebut.

“Kaedah pembuatannya sama seperti perisa lain tetapi kami memperbaharui dengan meletakkan ektstrak kanabis atau ketum di dalam bancuhan itu.

“Kami tiada masalah untuk mendapatkan bekalan memandang­kan ramai di antara kami yang kreatif menghasilkan perisa itu,” kata peniaga terbabit.

Dalam pada itu sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika dihubungi mengakui wujudnya taktik terbaharu sindiket pengedaran dadah di pasaran tempatan ketika ini.

“Kami telah pun mengenalpasti kumpulan yang terlibat dalam perniagaan tersebut malah, secara berani dan terang-terangan telah menjual secara dalam talian.

“Bagaimanapun, buat masa ini polis tidak boleh dedahkan secara terperinci kes ini kerana kami masih lagi menjalankan siasatan dan pemantauan,” kata sumber itu.

Sumber: Utusan