Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali |
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali kini dilaporkan ‘stress‘ dengan pengumuman secara mengejut oleh pemimpin DAP, Lim Guan Eng bahawa Pulau Pinang bukan lagi negeri Pakatan Rakyat.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh bekas CEO Menteri Besar
Incorporated, Faekah Husin yang juga Pegawai Khas kepada Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim seperti dipetik pelbagai portal politik tanah air pada
Jumaat.
Katanya, Azmin masih gagal menyelesaikan kemelut politik antara Pas
dan DAP yang menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor termasuk
kegagalan ketika pertemuan formal pemimpin DAP dengan PKR baru-baru ini.
Dengan perkembangan terbaharu di Pulau Pinang itu yang dipersetujui
sendiri 10 ADUN PKR dan wakil tunggal Pas; ia sudah pasti membuatkan
Azmin ‘pening kepala’ untuk menyelamatkan jangka hayat kerajaan
Selangor.
Menurut Faekah, hubungan ‘tergantung’ antara Pas dan DAP menimbulkan
sikap saling curiga-mencurigai sesama Exco Kerajaan Selangor yang sudah
semestinya tidak sihat untuk pembangunan ekonomi negeri dan rakyat.
“Sekarang kerajaan negeri terpaksa lebih sibuk dengan usaha
memperbaiki balik kerosakan teruk yang mereka cipta sendiri hasil
Langkah Kajang yang gagal,” katanya dipetik daripada sebuah portal
berita pro-BN.
Menurut Faekah dengan perkembangan terkini di Pulau Pinang, Azmin
perlu membuktikan beliau dapat sokongan majoriti, sama seperti desakan
yang dikenakan terhadap Khalid suatu ketika dulu apabila beliau dipecat
PKR.
Jelasnya, Azmin perlu menerangkan kepada rakyat apakah bentuk kerja
sama dalam kerajaan negeri Selangor yang ada ketika ini selepas PKR dan
DAP muktamad mengumumkan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud.
“Walaupun krisis DAP dan Pas tiada kesudahannya, Azmin sudah pasti
sedang letih mencari jalan selamat untuk menyelamatkan kedudukannya pula
yang agak rapuh.
“Sebagai seorang yang berpengalaman sebagai ‘perunding’ sudah pasti
Azmin memiliki banyak idea dan bertungkus lumus membuat tawaran kepada
semua pihak. Tidak mustahil Azmin minta tolong UMNO,” katanya.
Khalid Ibrahim baru-baru ini menawarkan diri untuk kembali menerajui
Selangor sebagai Menteri Besar selepas 10 bulan meletak jawatan jika
mendapat kepercayaan walaupun dengan majoriti mudah di DUN Selangor.
Selepas menawarkan diri untuk kembali jadi MB, ADUN Pelabuhan Klang
itu; yang dianggap MB terbaik dalam sejarah oleh pemimpin PKR, Anwar
Ibrahim sendiri; kemudian mengulangi gesaan supaya Azmin berundur.
Menurut Khalid, rakyat di Lembah Klang khususnya Selangor kecewa
dengan sikap kerajaan negeri pimpinan Azmin kerana didakwa tidak
berwibawa menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan
air.
“Jika Azmin sedar akan had keupayaan peribadi dan kekangan lain untuk
memuktamadkan segera penyusunan semula industri air Selangor pada kos
keseluruhan tidak lebih RM9.65 bilion, maka saya ulang gesaan yang
pernah saya utarakan di dalam Dewan Negeri Selangor sebelum ini.
“Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur
sekarang supaya Dewan dapat cari seorang pengganti yang benar-benar
layak, berkemampuan dan berkebolehan melaksanakan tanggungjawab berat
ini,” katanya. – Agensi