TOKOH sahabat Nabi ini bernama Ikrimah bin Abu Jahal bin Hisyam al-Makhzumi. Ya, beliau anak seorang tokoh yang sangat memusuhi Islam.
Sebagaimana ayahnya, Ikrimah pada mulanya sangat keras menentang Rasulullah SAW. Apabila baginda menundukkan kota Mekah, Ikrimah melarikan diri ke Yaman. Dalam perjalanan di atas kapal laut berlaku badai yang hampir menenggelamkan dirinya.
Beliau lalu berdoa kepada Allah SWT dan berjanji akan tunduk kepada baginda Rasulullah SAW jika diselamatkan daripada bencana tersebut. Allah SWT berkenan menyelamatkan beliau. Ikrimah lalu kembali ke Mekah dan mengucapkan kalimat syahadah di hadapan Nabi SAW.
Sejak saat itu, Ikrimah menjadi seorang Muslim yang taat. Ramai yang berkata: “Ikrimah tidak pernah melakukan dosa selepas masuk Islam. Salah satu sifat mulia yang terdapat dalam diri Ikrimah ialah beliau sangat suka membaca al-Quran daripada mushaf.”
Apabila membaca al-Quran, beliau lalu mencium mushaf sambil menangis dan berkata: “Firman tuhanku, firman tuhanku.”
Perkara ini diriwayatkan oleh ramai ulama antaranya Ibnu Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah.
Bulan al-Quran
Bulan Ramadan kembali tiba. Saatnya pada bulan suci ini untuk kita kembali kepada al-Quran. Iaitu dengan membaca, mengkaji dan mentadabbur maknanya.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)". (al-Baqarah: 185)Justeru, para ulama salaf soleh memberi perhatian lebih kepada al-Quran pada bulan Ramadan. Mereka meninggalkan semua aktiviti untuk memberi tumpuan kepada al-Quran. Mereka membacanya dengan memandang kepada mushaf.
Berkata Ibnu Abdil Hakam: “Apabila Ramadan menjelang, Imam Malik meninggalkan periwayatan hadis dan diskusi dengan para ulama. Beliau terus membaca al-Quran daripada mushaf.”
Mengikut Imam al-Nawawi, membaca dengan memandang mushaf lebih disukai daripada membaca daripada hafazan. Itu kerana cara ini lebih membantu dalam proses tadabbur.
Pada bulan Ramadan ini, sekurang-kurangnya kita mesti menetapkan dua sasaran bersama al-Quran, iaitu: khatam dan faham.
Untuk mencapai sasaran khatam, kita mesti membaca al-Quran secara tartil sebanyak yang kita mampu. Semakin banyak yang kita baca, semakin cepat kita khatam.
Sementara itu, untuk sasaran faham pula, kita mesti membaca al-Quran sambil mencuba memahami maknanya. Baca setiap ayat berserta tafsirnya. Semakin banyak yang kita fahami, semakin meningkat iman kita kepada Allah SWT.
Berkata Ibnu Taimiyyah: “Mempelajari makna-makna al-Quran ialah maksud utama mempelajari huruf-hurufnya dan ia itulah yang dapat menambahkan iman.”
Mencium mushaf
Sewaktu membaca mushaf al-Quran, kita dituntut untuk menghormatinya. Dan salah satu tanda menghormati mushaf ialah menciumnya selepas membaca.
Berpandukan perbuatan Ikrimah bin Abi Jahal, kebanyakan ulama mengatakan harus mencium mushaf. Demikian ialah pandangan muktamad dalam mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali sebagaimana dalam Mausu’ah al-Fatawa al-Kuwaitiyyah.
Al-Bujairami seorang ulama mazhab Syafie berkata: “Imam al-Subki berhujah untuk keharusan mencium mushaf dengan mengqiyas kepada hukum mencium Hajarul Aswad, tangan orang alim dan orang soleh dan juga mencium anak. Sedia maklum, mushaf lebih mulia berbanding semua orang ini.”
Bagaimanapun, ulama mazhab Maliki mengatakan makruh mencium mushaf sebagaimana dalam kitab Syarh Mukhtasar Khalil. Itu kerana perbuatan ini tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Berkata Ibnu Haj al-Maliki dalam al-Madkhal: “Mengagungkan mushaf ialah dengan cara membaca dan mengamalkan kandungannya. Bukan dengan mencium dan berdiri untuknya sebagaimana yang dilakukan sesetengah orang pada zaman ini.”
Saya menghormati pandangan semua ulama. Namun dalam masalah ini, saya melihat pendapat jumhur ulama cukup kuat. Wallahu a’lam.
Sumber: Utusan