Bai'ah Talak Tiga: Terserahlah Pada Mereka, Kita Pun Tak Tahu Siapa - Jamil Khir


GUAR CHEMPEDAK – “Biar mereka yang terlibat dengan bai’ah yang membuat ulasan mengenainya”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika diminta mengulas mengenai isu bai’ah dan bercerai talak tiga dalam kalangan anggota PAS yang ingin meninggalkan parti itu.

Beliau berkata bai’ah adalah ikatan perjanjian dan isu mengenai bai’ah tidak hanya timbul menjelang pilihan raya.

“Dalam hal talak tiga, tidak kira bai’ah atau apa sekalipun, ia mengikrar, kalau ada talak terpulang kepada orang itu sebab kita pun tidak tahu siapa yang ada bai’ah.

“Ini bukan hal untuk saya uruskan bagi tujuan penyelesaian tetapi terpulang kepada parti-parti yang terlibat, yang melakukan bai’ah, biar orang yang terlibat sahaja yang buat ulasan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas penubuhan Gerakan Harapan Baru sebagai parti baharu,, Jamil Khir berkata, beliau secara peribadi melihat iadalam konteks demokrasi yang mengizinkan kewujudan pelbagai parti di negara ini.

“Kewujudan ini mungkin akan memeriahkan pentas politik dan kita harapkan rakyat dapat membuat pilihan sebenar, melihat dan menilai kepada pelbagai pilihan yang ada di hadapan mereka.

“Akhirnya, yang lebih penting ialah untuk mereka melihat, mana pihak dan juga golongan yang memberikan perkhidmatan dan sumbangan untuk meneruskan kesinambungan tanggungjawab pentadbiran negara Malaysia, setiap kali pilihan raya datang,” katanya.

Jamil Khir berkata, beliau tidak menafikan bahawa kebanyakan parti yang baru diwujudkan atas nama untuk memperjuangkan hak orang Melayu.

“Bila sebut tentang kewujudan parti, kebanyakan berdiri atas nama untuk orang Melayu … inilah hakikat demokrasi dan terpulang kepada rakyat untuk memilih,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan kewangan kepada 80 pelajar sekolah menengah dari kawasan Parlimen Jerai yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini. – BERNAMA