ALOR SETAR - Syawal kali ini tidak memberi makna buat sebuah keluarga di Lorong Pak Cha, Kampung Pegawai, di sini apabila anak sulung mereka yang terlibat kemalangan pada November tahun lalu kini koma dan terbaring di katil.
Ibu tunggal, Zaiton Mat, 56, berkata, anak lelakinya, Mohd Hilmi Rosaini, 27, hanya mampu terbaring sejak lapan bulan lalu akibat terlibat dalam kemalangan.
"Sebelum kemalangan, Mohd Hilmi bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu antaranya sebagai pembantu kedai dengan upah RM50.
"Kini kami umpama hilang punca pendapatan sepenuhnya semenjak anak terlantar tidak sedarkan diri," katanya.
Menurutnya, dia menerima bantuan daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) manakala anak lelakinya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Wang berkenaan banyak dihabiskan untuk perbelanjaan perubatan Mohd Hilmi yang mencecah lebih RM1,000 sebulan.
"Anak saya memerlukan susu khas dianggarkan bernilai RM70 setin setiap dua hari selain keperluan lampin pakai buang dan tiub khas," katanya.
Zaiton berkata, bantuan yang diterima tidak mencukupi apatah lagi kini dia sudah hilang punca pendapatan sepenuhnya.
"Adakalanya sewa rumah tertunggak apabila wang bantuan banyak dihabiskan untuk perubatan anak," katanya.
Katanya, kadang-kala dia terpaksa menebalkan muka meminta wang daripada kenalan dan sanak saudara, malah turut menggadaikan barang berharga bagi memastikan anak mendapat keperluan ubat-ubatan.
"Saya juga tak berapa sihat sebab ada masalah darah tinggi manakala anak perempuan, Nurul Fazliana Rosaini yang berusia 25 tahun pula disahkan mengidap kencing manis sejak berusia 10 tahun," katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun Maybank 102090174158 atas nama Zaiton.
Sumber: Sinar Harian