Batu Kurau Bakal Terkenal Jadi "Lembah Durian" - Tajuddin Abd Rahman

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kiri) dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak (tengah) menunjukkan longgokan buah durian yang telah diasingkan mengikut gred sebelum dipasarkan semasa lawatan kerja beliau ke Pusat Pemprosesan dan Pusat Pengumpulan Durian FAMA Batu Kurau hari ini. - Foto BERNAMA
LARUT – Batu Kurau di sini yang mempunyai kawasan tanaman durian yang luas dan menghasilkan durian kampung yang banyak bakal menjadi Lembah Durian, kata kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata buat permulaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengambil inisiatif untuk menanam benih durian bermutu tinggi di daerah itu.

Sejumlah 10,000 benih klon durian telah dibekalkan sehingga kini manakala sebanyak 16,000 benih lagi akan dibekalkan untuk ditanam di Batu Kurau, katanya kepada pemberita di Kampung Sempeneh Chempaka di sini.

Tajuddin berkata struktur tanah di daerah berkenaan terdiri daripada tanah mineral, berada di tepi bukit serta mempunyai iklim yang sesuai dengan tanaman durian.

Batu Kurau mempunyai kawasan durian berkeluasan 1,562 hektar yang diusahakan oleh 1,556 pekebun.

Beliau berkata daerah itu menghasilkan perolehan hasil durian sebanyak RM16 juta dalam semusim, katanya.

“Ini bermakna setiap pekebun mampu menerima pendapatan daripada penjualan durian sebanyak RM10,000 setahun,” katanya.

Sementara itu Tajuddin berkata FAMA sedang merancang untuk menambah cawangan agro bazaar selain di Singapura.

“FAMA dalam perancangan mahu menambah agro bazar di Hong Kong, Beijing, Dubai dan London yang akan menjadi outlet buah-buahan tempatan khususnya durian,” katanya. – BERNAMA