Bayi 4 Bulan Koma Di Sg Petani: Ibu Bapa Direman 4 Hari

SUNGAI PETANI – Ibu dan bapa kepada bayi perempuan berusia empat bulan yang koma dipercayai didera di sini, ditahan reman empat hari, bagi membantu siasatan polis.

Perintah tahanan reman sehingga 10 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata pasangan berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada pukul 11 malam tadi.

Rabu lepas, bayi itu yang baru empat hari ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di sini, dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani oleh pemilik pusat penjagaan itu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Mangsa dikatakan mengalami pendarahan pada otak dan mata. – BERNAMA