Bayi Telah Meninggal Dunia Sebelum Dikerat 6 Di Jitra

Gambar Hiasan
JITRA –  Laporan dari hasil bedah siasat bayi dikerat enam yang ditemui di dalam tangki najis rumah di Kampung Manggol, dekat sini, semalam mendapati bayi malang itu sudah pun meninggal dunia ketika dilahirkan serta ada kesan hirisan daripada objek pipih dan tajam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd. Rahim Abdullah menjelaskan bahawa enam bahagian yang dikerat itu adalah kepala, bahagian depan dada, bahagian tepi dan belakang dada, bahagian abdomen, kaki dan tangan kiri.

Menurut beliau lagi, pihak polis masih lagi mencari saki baki bahagian tangan dan kaki yang belum ditemui, manakala siasatan lanjut turut menunjukkan bahawa jantina bayi itu adalah perempuan.

“Senjata yang digunakan untuk mengerat mangsa belum ditemui. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” jelasnya yang dipetik dari MyMetro, semalam.

Sebelum ini, pihak berkuasa dilaporkan telah menemui sebahagian tubuh bayi yang dikerat enam bahagian di dalam tangki tandas di sebuah rumah di Kampung Manggol, Jitra, pada hari Selasa lalu.

Abdul Rahim yang mengesahkan perkara itu berkata terdapat beberapa tubuh bayi belum ditemui seperti bahagian tangan, kemaluan dan kaki kanan bayi tersebut.

Katanya, tubuh bayi dipercayai dikerat dengan menggunakan senjata tajam, sebelum dibuang ke dalam tangki tandas.

Beliau berkata sebahagian anggota badan bayi yang ditemui itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut manakala suspek wanita berumur 31 tahun turut ditahan di HSB kerana mengalami pendarahan. 

Hasil soal siasat pertama pihak polis mendapati bahawa suspek berbohong dengan memberitahu telah bersalin di rumahnya di Kampung Binjal, Jitra dan bayinya dibuang di dalam tong sampah.

Katanya hasil siasatan lanjut mendapati suspek melahirkan bayi tersebut di rumah datuknya di Kampung Manggol, Jitra dengan cara berdiri dan telah membuang bayi tersebut di dalam lubang tandas dengan cara mengepam air.

Suspek juga dipercayai makan ubat tidur ketika pulang ke rumah datuknya di Kampung Manggol dan pada 1 tengah hari semalam, suspek memberitahu ibunya mahu ke tandas untuk buang air besar.

“Satu jam selepas itu suspek keluar dari tandas dan beritahu ibunya yang dia datang haid dan terus sambung tidur sehingga waktu berbuka puasa.

Suspek juga tidak menunjukkan tanda-tanda mencurigakan dan ibu suspek juga tidak mendengar bunyi mencurigakan dalam tandas tersebut,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. -Kedahnews.com