Belum Ada Sekolah Pondok Layak Didaftar Sebagai SABK

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan
KUALA LUMPUR – Sehingga kini, tiada sekolah pondok layak didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria pendaftaran, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, antara kriteria utama kementerian untuk mempertimbangkan permohonan pendaftaran SABK ialah keperluan melaksanakan Kurikulum Kebangsaan seperti yang ditetapkan oleh Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Kementerian tidak nafikan sekolah agama telah mewujudkan para cendekiawan namun untuk sekolah itu layak didaftar sebagai SABK tetap perlu memenuhi kriteria kementerian,” katanya menjawab soalan Senator Shahanim Mohamad Yusoff, yang mahu kementerian menyatakan sambutan dan penyertaan sekolah pondok dalam negara.

Beliau berkata, syarat lain termasuk tanah sekolah perlu diwakafkan untuk tujuan pendidikan dan bukan milik peribadi, bangunan sedia ada selamat serta mendapat pengesahan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selain pihak berkuasa tempatan dan sekolah tersebut perlu beroperasi.

Sementara itu, menjawab isu berasingan mengenai program pencegahan dadah mengikut kurikulum di sekolah yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Kamalanathan berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah. – BERNAMA