Berbeza Pandangan Mazhab Jangan Dijadikan Sumber Pepecahan Ummah

4 Mazhab Sunnah Wal Jamaah
ALIRAN fikiran fikah atau mazhab fikah yang berlainan muncul kerana perbezaan memahami ajaran-ajaran yang terkandung di dalam sumber hukum utama iaitu al-Quran dan al-sunnah yang tidak bersifat definitif atau qatie.

Perbezaan mentafsirkan dalalah al zan atau dalil-dalil yang tidak muktamad menyebabkan munculnya perbezaan pandangan ini. Pendekatan yang berbeza diambil oleh imam-imam juga menyebabkan pandangan yang dikeluarkan itu menjadi berbeza.

Perkara yang demikian dapat difahami kerana pendekatan yang berlainan seperti mementingkan zahir lafaz berbanding maksud lafaz, terlalu berhati-hati atau terlalu memudahkan, terdapat juga kalimah-kalimah di dalam nas-nas mempunyai beberapa makna serta keyakinan terhadap sesuatu periwayatan hadis berbanding hadis yang lain.

Mazhab-mazhab fikah yang empat iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki menjadi ikutan khalayak awam dalam persoalan-persoalan fikah. Sebenarnya perbezaan pandangan yang menjurus kepada pertumbuhan mazhab-mazhab fikah ini adalah manifestasi keanjalan fikah Islam itu sendiri. 

Namun pertikaian mazhab ini seringkali disalahertikan oleh masyarakat umum. Ia kadangkala menjadi sumber perpecahan umat Islam.

Tidak kurang juga daripada lipatan sejarah kita akan dapati umat Islam bersengketa kerana perbezaan pandangan di kalangan mereka. Oleh yang demikian perspektif yang betul di dalam menelusuri landskap perbezaan pandangan ini perlu difahami oleh masyarakat Islam.

Umat Islam perlu memakai lensa Hukum Syarak apabila berhadapan dengan perbezaan pandangan ini kerana di dalam agama lain perbezaan yang ketara berlaku sehingga tidak mengakui golongan yang lain termasuk di dalam agama mereka. Ia amat berbeza dalam Islam.

Umpamanya solat Jemaah di Masjidil Haram ketika ini diimamkan oleh seorang imam sahaja berbanding suatu ketika dahulu solat jemaah ini dilakukan mengikut imam mazhab masing-masing di penjuru masing-masing.

Kesepakatan bersolat jemaah dengan seorang imam sahaja menganjak paradigm para ulama agar dapat bersatu di dalam hal-hal agama yang lain.

Terkeliru

Namun hakikatnya, umat Islam sendiri sering terkeliru dengan senario ini. Tidak hairanlah kedengaran suara-suara yang bimbang perpecahan ini dan mahu membebaskan umat Islam daripada pegangan mazhab.

Rasional kebimbangan ini dikatakan disebabkan mahu menyelamatkan umat Islam daripada terus berpecah. Lakaran pahit sejarah seperti peristiwa pertumpahan darah yang dimulakan oleh puak Khawarij seringkali dijadikan dalil pandangan ini.

Mereka mahukan agama itu dilaksanakan tanpa dipateri dengan pandangan mana-mana mazhab.

Seharusnya mazhab merupakan institusi pendidikan aliran fikah bagi mentafsirkan dalil-dalil syariah. Ia merupakan metodologi fikah untuk mengeluarkan hukum yang mana masih belum disepakati lagi.

Pandangan mazhab ini adalah sebahagian daripada syariah Islam, bukan syariah Islam itu sebahagian daripada pandangan bermazhab. Asas pandangan aliran fikah ini sebenarnya adalah bertitik tolak daripada keyakinan imam berijtihad.

Namun sekiranya terbukti ijtihad tersebut tidak lagi sesuai mengikut keadaan setempat atau semasa dan terdapat dalil lebih kuat, maka ijtihad tersebut boleh ditolak.

Hal demikian amat jelas kerana tidak disyaratkan oleh mana-mana mazhab mengikut segala ijtihad dalam sesuatu mazhab tetapi harus berpindah ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu.


Walau bagaimanapun, ikutan tersebut hendaklah diasaskan kepada dalil-dalil yang menjustifikasikan seseorang itu beralih ke mazhab lain. Ia tidak hanya dilakukan semata-mata mencari perkara yang mudah berlandaskan nafsu atau sampai membawa kepada talfiq yang dilarang.

Begitu juga ikhtilaf ulama ini tidak wajar dilihat daripada perspektif perpecahan dalam kalangan umat Islam tetapi hendaklah dilihat daripada lensa keanjalan undang-undang Islam yang membawa kepada dinamiknya Hukum Syarak itu yang sesuai mengikut tempat dan zaman.

Ia juga melambangkan keluasan fakulti pemikiran ulama silam dalam ilmu fikah yang bersungguh-sungguh menimba khazanah ilmu Islam.

Manifestasi dinamik

Sebagai seorang peguam syarie saya melihat perbezaan pandangan ini sebagai suatu manifestasi dinamiknya undang-undang Islam. Pelbagai hujah dapat dibangkitkan di mahkamah mengenai isu-isu tertentu tanpa perlu memperlekehkan sesuatu hujah yang berlainan.

Para peguam menyediakan hujahan mereka dengan penuh berhati-hati semasa memilih hujah manakah yang akan dipertahankan. Pandangan mazhab-mazhab ini sebenarnya berfungsi sebagai panduan kepada kita agar tidak tergelincir daripada landasan yang sebenar.

Pandangan terpimpin ini memudahkan para ilmuwan mengkaji dan meneliti sesuatu pandangan dengan lebih objektif kerana piawaian yang tinggi telah pun digariskan oleh para imam semasa menggarap pandangan mereka. Dengan cara ini undang-undang itu dapat dibangunkan dan disesuaikan dengan peredaran zaman.

Kecelaruan masyarakat tentang perbezaan pandangan ini berlaku kerana masyarakat awam sendiri mencampuri urusan para ulama dengan mempertikaikan sesuatu pandangan, memilih satu pandangan berbanding yang lain tanpa mempunyai asas-asas ilmu perundangan Islam yang mantap.

Institusi ifta’ atau kefatwaan itu dilihat sebagai milik awam dan tidak diberikan kepada ahlinya. Inilah kesilapan berlaku yang mana masyarakat awam sebahagiannya mendabik dada atas nama teknologi terkini, mendakwa mampu memperoleh ilmu agama setanding dengan para ulama.

Mereka juga amat teruja dengan kemampuan fakulti akal dan logik. Malangnya mereka tidak menyedari bahawa hal agama tidak boleh menggunakan neraca akal dan logik semata-mata di dalam membuat sesuatu ketetapan.

Terdapat pelbagai metodologi dan kaedah bagi mentafsir dalil naqli ini. Mungkin sebahagian daripada mereka juga terpengaruh dengan kebebasan yang ada di negara barat sehingga menjustifikasikan setiap persoalan itu dijawab oleh sesiapa juga mengikut perspektif mereka sendiri. Mereka mendakwa hak asasi ini perlu diberikan kepada setiap individu tanpa mengira latar belakang.

Dalam masa yang sama terdapat juga suara yang tidak mahu masyarakat Islam dikongkong oleh mazhab-mazhab fikah. Mereka mempromosi umat Islam memilih apa jua pandangan yang dirasakan sesuai kepada mereka dan meninggalkan kebergantungan kepada mazhab fikah.

Sumber: Utusan