Bergaduh, Warga Singapura Ditahan Cederakan Rakyat Malaysia

Gambar Hiasan
JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang rakyat Singapura kerana mencederakan seorang lelaki tempatan dalam pergaduhan di Kompleks Kastam Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, dekat sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supritendan Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian melibatkan kedua-dua pemandu lori kontena di Singapura itu berlaku kira-kira pukul 10 malam.

“Dipercayai mangsa yang merupakan rakyat tempatan berumur 41 tahun bertanyakan tentang hutang terhadap lelaki Singapura berumur 61 tahun itu sebelum berlaku pergaduhan antara kedua-duanya sehingga mangsa dicederakan menggunakan besi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Noor Hashim berkata, mangsa yang berasal dari Taman Ungku Tun Aminah, di sini, cedera di kening kiri dan kemudian menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Katanya, besi tersebut dirampas dan lelaki terbabit kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – BERNAMA