Biak Aedes: 5 Tapak Pembinaan Di Sg Petani Terima Notis

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI - Sebanyak lima lokasi tapak pembinaan diarahkan menghapuskan tempat berpotensi untuk pembiakan aedes.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr Suziana Redzuan berkata, semua tapak pembinaan itu telah diberikan notis menerusi Seksyen 8 Akta Pemusnah Serangga Pembawa penyakit 1975.

Menurutnya, berdasarkan arahan menerusi notis berkenaan, pengendali diberi tempoh tujuh hari untuk membersihkan tapak terbabit, terutama kawasan yang mempunyai air bertakung.

“Pemeriksaan ke tapak projek mendapati ada bekas menakung air di satu dua tempat dan ia berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes. Jadi, kami arahkan supaya pembersihan dilakukan bagi menghapuskan kawasan berpotensi berkenaan,” katanya.

"Pemantauan seterusnya akan dibuat selepas tempoh itu dan syarikat pengendali boleh dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah sekiranya gagal mematuhi arahan berkenaan," katanya mengulas operasi Pejabat Kesihatan bersama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah ke beberapa tapak pembinaan yang sedang dibangunkan di sekitar bandar ini.

Pada masa sama, katanya, orang ramai yang bakal pulang ke kampung atau berkunjung ke rumah yang ditinggalkan lama diminta sentiasa berwaspada bagi memastikan kawasan persekitaran bebas lokasi pembiakan nyamuk aedes.

"Kita minta orang ramai menggunakan penyembur aerosol setiap pagi dan senja bagi menghapuskan nyamuk.

“Sebelum memasuki rumah yang lama ditinggalkan, pastikan tiada bekas takungan air, kosongkan pam tandas atau menggunakan racun membunuh jentik-jentik sebagai langkah pencegahan sepanjang tempoh bercuti atau perayaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian