KEBETULAN ketika dunia berdebar melihat tarikh akhir 30 Jun Greece
muncul negara maju yang pertama di dunia gagal membayar langsung hutang
luarnya dan bakal diisytiharkan sebagai muflis, lain halnya di Malaysia.
Pada tarikh itu juga, sebuah agensi penarafan antarabangsa, Fitch
Ratings memberi laporan baik mengenai unjuran kredit untuk Malaysia;
anehnya berita ceria ini tidak begitu popular dalam kalangan pihak
tertentu.
Bayangkanlah, berita gembira itu diumumkan salah sebuah daripada tiga
agensi penarafan global berwibawa; yang selama ini agak skeptikal dan
kritikal terhadap Malaysia; tetapi kali ini beralih arah memberi nota
berbaur positif.
Seperti dijangka portal-portal propembangkang cuba mengalih isu lain
apabila membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pihak kerajaan yang
secara kebetulan dikaitkan dengan persepsi kenaikan harga minyak pada 1
Julai.
Isu sensasi tersebut kemudian sengaja dihubungkaitkan pula dengan
situasi ekonomi di Greece yang teruk nazak dan bila-bila masa bankrap
kononnya Malaysia juga akan mengikut jejak langkah negara Eropah itu
kemudian.
Taktik ‘mainan’ pihak antikerajaan ini menggunakan hujah kononnya
kerajaan Malaysia banyak berhutang, boros berbelanja dan harga barangan
mahal sebagai tanda-tanda negara kita akan hancur macam esok hendak
kiamat!
Sedih rasanya melihat rakyat yang tidak tahu cerita sebenar
‘termakan’ hasutan dakyah jahat kelompok ini sengaja sebar berita palsu
termasuk sanggup fitnah pemimpin negara waima masih dalam bulan Ramadan
Al-Mubarak.
Hakikatnya, tidak ramai tahu, senario di Greece bukan sahaja jauh
berlainan daripada Malaysia, bahkan ibarat buat perbandingan berat
sebelah antara epal dengan durian, atau cakap senang beza macam langit
dengan bumi.
Ekonomi Greece secara teknikal mulai jatuh sejak negara itu menjadi
tuan rumah Sukan Olimpik 2004 apabila kerajaannya terpaksa berbelanja
besar menyediakan segala prasarana terbaik demi menjayakan temasya
tersebut.
Lazimnya, semua negara berebut mahu menjadi hos Olimpik kononnya
berprestij tetapi kes 2004 menyebabkan selepas itu, banyak calon bidaan
tuan rumah sukan tersebut mulai bimbang terkena badi sumpahan ekonomi.
Lebih malang Greece yang tidak memiliki fundamental atau asas ekonomi
kukuh tanpa sumber asli dan tiada kepelbagaian iktisas, rakyatnya yang
sudah biasa ‘manja’ hidup mewah bergaji mahal memburukkan lagi keadaan.
Mungkin warisan tradisi silam tamadun Greek atau kita sebut Yunani
kuno, mengakibatkan warga Greece enggan menerima hakikat keadaan ekonomi
mereka teruk dan tidak mahu pula hidup sederhana mengikut kemampuan.
Parti pemerintah cuba buat pembaharuan ekonomi ditolak rakyat yang
lebih selesa mengundi parti haluan kiri liberal pada pilihan raya
kononnya berjanji bulan dan bintang seperti mana pakatan pembangkang di
Malaysia.
Lucunya, antara hujah popular pentaksub pembangkang konon Malaysia
bakal jadi Greece dengan lihat contoh kadar mata wang ringgit lemah dan
membuat perbandingan nilai pertukaran jiran maju kita, dolar Singapura.
Realitinya hanya 18 buah negara di seluruh dunia yang mata wangnya
kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat manakala negara-negara lain
waima rouble Rusia, yuan China, yen Jepun dan rupiah Indonesia pun jatuh
teruk.
Cerita ringgit lemah dimainkan dengan begitu berjaya oleh media
Singapura sehingga majoriti rakyat Malaysia terpengaruh konon ekonomi
negara kita sedang hancur dan ekonomi Singapura adalah terbaik di rantau
ini.
Walhal fakta sebenar adalah terbalik, pemerintah republik itu
dilaporkan cemas apabila lihat ringgit jatuh bukan kerana asas ekonomi
Malaysia lemah tetapi serangan pihak luar, sekali gus merencatkan
ekonomi Singapura.
Pengalaman penulis pernah berkhidmat di republik kecil itu
membuktikan setiap kali ringgit jatuh, peniaga runcit Singapura yang
paling teruk terjejas bahkan menyumpah seranah pemerintah kerana mahu
sangat dolar kukuh!
Cuba bayang buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA, kehadiran
puluhan ribu atlet gagal membantu ekonomi Singapura dek faktor dolar
terlalu kuat, jauh berbeza dengan temasya di Indonesia dan Myanmar
sebelum ini.
Pemerintah republik itu sebetulnya banyak bergantung kepada pelancong
Malaysia untuk beli-belah di Singapura berbanding pelancong
negara-negara lain yang ‘kedekut’ berbelanja besar apatah lagi akibat
nilai dolar kukuh.
Ini belum lagi KDNK Singapura yang dilaporkan amat rendah sekitar 3%
berbanding Malaysia hampir 6%, sekali gus ada pihak melihat hal ini
seperti sumpahan sikap Singapura pernah bergembira ketika dua jiran
berkabung.
Pasti ramai masih ingat Malaysia dan Indonesia sanggup batal sambutan
Tahun Baharu 2015 ekoran tragedi pesawat AirAsia QZ8501 selain bencana
banjir besar, tetapi Singapura pula berpesta meriah macam lupa dunia.
Itu memang hak Singapura meraikan jubli emas kemerdekaan ke-50 tahun,
namun balasannya Singapura terpaksa berkabung dua kali selepas itu
sempena kematian negarawan Lee Kuan Yew dan mangsa maut gempa bumi
Sabah.
Mungkin itu kebetulan, realitinya, pemerintah Singapura terpaksa
mencairkan banyak stok rizab simpanannya untuk memastikan dolar tidak
terlalu kuat walhal Malaysia tidak perlu buat apa-apa pun terhadap nilai
ringgit.
Sesuatu yang tidak diceritakan portal propembangkang, peranan Bank
Negara Malaysia (BNM) antara faktor Singapura kelam-kabut melihat
ringgit naik atau turun secara ‘cantik’ dipacu asas kukuh ekonomi
Malaysia.
Bagi rakyat Malaysia yang pernah berkhidmat di Bursa Singapura (SGX),
mereka pasti tahu istilah popular dalam kalangan remiser dan broker
saham republik itu sehingga timbul perasaan bangga menjadi warga
Malaysia.
Jangan terkejut, SGX ‘bergegar’ apabila mereka kecoh jerit “Negara bersin!”
Perkataan ‘Negara’ itu merujuk kepada BNM yang dikesan memasuki pasaran
antarabangsa dalam situasi teknikal disebut lantunan nilai ringgit.
Bagi petugas SGX, BNM cukup digeruni apatah sebut nama Gabenor BNM,
Tan Sri Zeti Ahtar Aziz, antara gabenor bank pusat terbaik di dunia; pun
boleh mempengaruhi senario ekonomi Singapura meskipun tidak signifikan.
Dari segi hutang negara pula, tidak ramai tahu hutang di Malaysia
masih stabil berbanding Singapura dan ia mula menjadi tinggi apabila
mengikut kaedah pengiraan baharu yang dilaksanakan di seluruh dunia
sejak 2014 lalu.
Di bawah sistem itu, semua hutang individu melibatkan rakyat termasuk
pinjaman pembiayaan peribadi, kereta, rumah, perniagaan, kad kredit,
waima PTPTN pun akan dianggap juga sekali sebagai hutang negara
berkenaan.
Justeru, apabila disebut hutang Malaysia ialah RM744 bilion, ini
merangkumi semua jenis hutang domestik dan luar negara, tetapi
realitinya hutang sebenar kerajaan Malaysia relatif kurang 2% atau di
bawah RM17 bilion.
Jika dibuat perbandingan dengan nilai KDNK, ia kurang 50% dan jika
buat perbandingan dengan Singapura, bersyukurlah Malaysia agak stabil
kerana republik itu memiliki hutang sekitar RM3 trilion atau lebih 100%
KDNK.
Malaysia juga bersih tiada pinjaman dengan IMF, jauh berbeza dengan
Greece yang gagal membayar hutang 1.5 bilion euro (RM6.3 bilion) dengan
institusi kewangan antarabangsa itu sejak 2012 atau 180% KDNK negara
itu.
Ini bermakna gambaran jahat pihak tertentu kononnya Malaysia bakal
menjadi Greece bukan sahaja aneh, tetapi lucu kerana jika ikut logik
angka Singapuralah yang sepatutnya terlebih dahulu menjadi Greece, bukan
Malaysia!
Bagi memahami situasi ekonomi Malaysia, ada rakan-rakan di SGX secara
jujur berkata, lihat sahaja pada wajah Gabenor BNM, jika beliau masih
tenang ceria, selagi itulah asas iktisas negara kita kukuh stabil. – Mynewshub.cc