Bila Imam Lupa Rakaat, Apa Perlu Makmum Buat?

Baru-baru ini, semasa saya solat Isyak secara berjemaah sebelum solat sunat tarawih, pada rakaat ketiga, selepas sujud imam terus melakukan tahayat akhir dan beri salam. Pada fikiran saya, mungkin imam terlupa. Tapi tiga perkara berlaku pada makmum.

a) Ada mengikut bersama imam terus sujud dan tahayat akhir dan memberi salam pada rakaat ketiga.

b) Semasa imam tahayat akhir pada rakaat ketiga, ada jemaah berdiri buat rakaat keempat.

c) Selepas imam memberi salam dan berdoa, ada jemaah bangun dan solat Isyak.

Yang mana satu betul?

Makmum Tarawih,
Kuala Lumpur.

UKE: Bagi imam yang tidak menyedari tentang rakaat tersebut, maka solatnya sah. Jika diperingatkan yang dia belum cukup rakaat selepas habis salam, maka dia boleh bangun mencukupkan bilangan yang tidak cukup dengan syarat tidak ada pergerakan dan percakapan yang banyak.

Bagi makmum yang sedar kesilapan imam, hendaklah dia menegur imam dengan sebutan subhanallah dan boleh mufaraqah dan meneruskan solat. Tidak sah solat makmum yang mengetahui rakaat tidak cukup dan wajib ulang solatnya.



Sumber: Utusan