Mohd. Khalid Atan |
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengumumkan gaji minimum RM1,200 dan bukan mengambil langkah berdiam diri.
Presidennya, Mohd. Khalid Atan berkata, gaji minimum sepatutnya diumumkan setiap dua tahun.
“Perbincangan dan rundingan telah dibuat Disember tahun lepas dan sepatutnya Januari tahun ini adalah masa untuk mengumumkan gaji minimum baharu.
“Sudah tujuh bulan berlalu, bukan pengumuman itu yang dibuat, sebaliknya kenaikan pelbagai harga barang dan perkhidmatan yang menjadi beban menjadi berita utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Skim gaji minimum dijadualkan diumumkan dua kali setahun.
Kali terakhir gaji minimum dikuatkuasakan pada 1 Januari 2013 iaitu bagi Semenanjung Malaysia ialah sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.
Tambah beliau, kerajaan harus memberikan alasan kukuh jika terdapat masalah terhadap rundingan dan perbincangan yang telah dibuat.
“Kabinet perlu bersuara dan memberi respon agar kita dapat sama-sama mencari jalan penyelesaian, bukan mengambil langkah berdiam diri.
“Sudah tiba masanya gaji minimum dinaikkan untuk kita meningkatkan taraf hidup rakyat yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Sumber: Utusan