Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim |
KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan para pembenci pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bahawa kelab bola sepak tersebut masih muda dan mampu melangkah lebih jauh pada masa akan datang.
Titah baginda, walapun baru "setahun jagung", namun JDT hanya dalam tempoh dua tahun ini telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek pembangunan infrastruktur dan juga pencapaian pasukan yang membanggakan.
Justeru itu, baginda menyarankan adalah lebih baik jika mereka yang membenci JDT selama ini beralih arah menjadi sebahagian dari penyokong JDT memandangan TMJ yakin skuad Harimau Selatan di bawah naungannya itu akan mencapai kehebatan yang hebat pada masa depan.
"Kepada penyokong-penyokong gelap JDT, jangan terlalu gembira dahulu, bawa bertenang. Hendak lihat kelab JDT berkubur, ia tidak akan berlaku. Kalah perlawanan bukanlah satu kegagalan.
"Tetapi tidak lagi wujud adalah kegagalan dan hendak menunggu JDT tidak wujud lagi, InsyaAllah ia tidak akan berlaku kerana saya masih muda, baru berusia 31 tahun," titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
TMJ bertitah, golongan "haters" yang selama ini begitu "anti-JDT" sebenarnya sangat memberi perhatian kepada Harimau Selatan kerana mereka tidak dapat berbangga dengan pasukan kegemaran mereka sendiri.
Baginda dalam pada itu menegaskan bahawa fokus JDT adalah pada 13 Julai ini kerana TMJ berpandangan bahawa pertembungan perlawanan dengan pasukan Pahang adalah diibaratkan berdepan dengan pasukan "Real Madrid" versi Malaysia.
“Pasukan legenda dan kelab gergasi yang patut dicontohi di negara ini pula adalah Selangor. Mereka merupakan kelab yang cemerlang berbanding pasukan-pasukan lain di negara ini.
“Kami amat menghormati anda dan kita akan bertemu pada 13 Julai ini. Sekian daripada orang yang paling dibenci dalam bola sepak Malaysia tetapi disayangi dalam diam oleh para `haters’,” titah TMJ. -Kedahnews.com