Budaya Taip Mesej Sambil Memandu Hanya Undang Padah

Tajul Urus (kiri) dan Nik Ahmad Syazwan (kanan) memakaikan topi keledar kepada penunggang motosikal.
ALOR SETAR - Satu kajian soal selidik dilakukan bagi mengumpul maklumat terperinci penggunaan telefon pintar ketika memandu kenderaan hingga boleh menyebabkan kemalangan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Nik Ahmad Syazwan Nik Azman berkata, mereka mengambil inisiatif untuk melakukan kajian itu kerana menyedari trend menaip mesej pada telefon semakin popular dalam kalangan masyarakat dan jika tidak dibendung boleh mengundang padah.

Menurutnya, jika sebelum ini orang menggunakan telefon untuk berkomunikasi namun masih ada alternatif sama ada memasang alat pembesar suara atau alat bebas tangan.

“Kewujudan trend menaip mesej pelbagai aplikasi sebagai contoh WhatsApp boleh menghilangkan tumpuan terhadap pemanduan sama ada kereta atau motosikal sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

“Kajian ini juga turut memberi fokus terhadap peringkat umur antara 16 hingga 25 tahun kerana golongan itu antara jumlah paling tinggi terlibat dengan kemalangan sama ada maut atau cedera parah,” katanya kepada media sempena Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kedah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Exco Pengangkutan, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Nik Ahmad Syazwan berkata, beberapa faktor yang sering dikenal pasti menjadi punca utama berlaku kemalangan adalah sikap tidak berhemah pengguna jalan raya dan antaranya ialah menggunakan telefon ketika memandu.

“Menaip mesej ketika memandu adalah salah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mengambil tindakan mengeluarkan notis atau saman terhadap pesalah jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, mereka sering memberi penekanan tentang kesedaran tidak boleh menggunakan telefon ketika memandu sewaktu menyampaikan ceramah kesedaran keselamatan jalan raya apabila pergi ke sekolah atau berjumpa orang ramai.

“Setakat ini sesi mengumpul maklumat masih dijalankan dan baru sahaja dimulakan sejak akhir tahun lalu.

“Melalui hasil kajian kelak dapat membantu kita untuk mendapat gambaran bilangan mangsa yang terlibat dalam kemalangan disebabkan menggunakan telefon dan usaha bagi mencegahnya dapat dilaksanakan dengan lebih teliti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian