Gambar Hiasan |
JOHOR BAHRU – Dakwaan biskut raya yang diimport dari negara China
menggunakan logo halal palsu dan dijual di dua buah pasar raya di Kluang
dan Ledang baru-baru ini adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat
yang menafikan dakwaan tersebut berkata, Jabatan Kesihatan negeri,
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta pihak Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) baru-baru
ini telah membuat operasi di kedua-dua premis terbabit.
“Hasil pemeriksaan kita telah mendapati tiada bukti yang menunjukkan
mereka menggunakan logo halal palsu ataupun bukti yang menunjukkan
biskut tersebut diimport dari negara China.
“Premis juga didapati mematuhi pensijilan halal yang diberi,” kata beliau kepada pemberita, di sini.
Bagi pasar raya Giant di Kluang yang turut didakwa perkara yang sama,
Ayub berkata hasil pemeriksaan mendapati pembekal biskut raya yang
dipamerkan di pasar raya berkenaan adalah dari pengeluar tempatan dan
bukan diimport dari negara China.
Ayub berkata demikian ketika mengulas mengenai isu biskut raya yang
dikatakan diimport dari negara China dan menggunakan logo halal palsu,
yang menjadi viral di media sosial.
Bagaimanapun, beliau berkata pemantauan akan terus dilakukan melalui
aduan-aduan yang dikemukakan, tidak kira sama ada yang viral di media
sosial ataupun aduan secara rasmi yang diberikan kepada KPDNKK ataupun
Jabatan Kesihatan.
“Kita juga mengharapkan agar masyarakat tidak menimbulkan keresahan
kepada masyarakat Islam yang akan menempuh atau meraikan Aidilfitri
dengan berita-berita yang mengelirukan.
“Jika mereka mempunyai bukti ataupun mendapat tahu sesuatu isu itu,
adalah lebih baik merujuk kepada Jabatan Kesihatan atau KPDNKK dan kalau
ia melibatkan soal halal haram boleh merujuk kepada JAINJ,” kata Ayub.
Beliau berkata menurut Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sekiranya
makanan yang dianalisis didapati tiruan dan boleh menjejaskan kesihatan,
seseorang pengusaha boleh dihukum penjara dua tahun atau denda RM10,000
atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – BERNAMA