Dakwa Ada Bukti Mokhzani Miliki 18 Kereta Mewah Bernilai RM36.2 Juta

Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir
Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendakwa dia mempunyai bukti jelas yang mengatakan bahawa anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki koleksi kereta bernilai RM36.2 juta.

Merujuk kepada tokoh perniagaan terkenal, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir, Azwandin mendakwa anak Tun Dr Mahathir itu memiliki kekayaan yang bersifat "luar biasa", memiliki 18 buah kereta mewah pelbagai jenama dalam tempoh masa yang sangat singkat.

Presiden JMM itu turut mencabar Mokhzani dan Dr Mahathir yang baru meraikan hari lahir yang ke-90 baru-baru ini supaya tampil menyaman dirinya sekiranya menganggap dakwaannya itu merupakan satu fitnah.

"Jika pendedahan ini tidak benar saya silakan untuk saman saya secara terbuka dan saya yakin beliau tidak berani saman saya sebab saya ada bukti jelas," kata Azwandin yang dipetik dari portal Free Malaysia Today (FMT).


Azwandin turut meminta Tun M harus tampil membuat penjelasan tentang sumber kewangan yang dipunyai anaknya ekoran kekayaan "luar biasa" itu dilihat bukanlah kemampuan sebenar mereka.

“Dr Mahathir perlu tampil memperjelas tentang dana modal anaknya. Malah, Mokhzani juga perlu tampil menjelaskan segera.”

Tambahnya lagi, pendedahan yang dibuatnya itu hanyalah melibatkan nilai kenderaan mewah yang dimiliki Mokhzani sahaja  tidak termasuk nilai hartanah dan harta lain anak mantan Perdana Menteri itu.
Azwandin bersama Mukhriz Mahathir
Azwandin turut menegaskan bahawa dia belum lagi mendedahkan kekayaan anak-anak Tun Dr Mahathir yang lain, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

“Saya belum dedahkan lagi kekayaan anak-anak Dr Mahathir yang lain termasuk Mukhriz,” katanya yang dipetik dari sumber yang sama. -Kedahnews.com