Dakwa Ekonomi Negara Tidak Stabil, Siti Nafi Kenyataan Zetty Akhtar, Fitch?

Siti Nurhaliza mengakui ketidakstabilan ekonomi negara sejak akhir-akhir ini memberi kesan kepada perniagaannya. Foto ROHAIZAT DARUS/The Star
ALOR SETAR - Meskipun agensi penarafan ekonomi bertaraf dunia, Fitch Rating dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetty Akhtar Aziz menegaskan ekonomi negara dalam keadaan kukuh, kenyataan itu seolah dinafikan Diva Negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Penyanyi tersohor negara yang juga pemilik syarikat produk kecantikan, Simplysiti, mendakwa bahawa "ketidakstabilan" ekonomi negara telah menjejaskan perniagaan beliau.

Kata Siti Nurhaliza, sebagai orang yang menguruskan produk kecantikan Simplysiti dan fesyen iaitu Kallista, dua perniagaan tersebut sedikit terganggu memandangkan pembeli perlu berjimat cermat dalam perbelanjaan.

"Diakui, saya terasa dengan ekonomi yang tidak menentu lebih-lebih lagi dalam perniagaan.

"Sudah tiba masanya kita perlu berjimat cermat dalam segala hal. Kurangkan perbelanjaan yang melibatkan kehendak diri agar kita tidak terbeban dengan perkara lain," katanya yang dipetik dari mStar.

Difahamkan bahawa kenyataan tersebut diluahkan beliau kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran album Unplugged Siti Nurhaliza di Dutches Place Ampang pada Rabu lalu. -Kedahnews.com