Mohd. Khariri Mohd. Ramli |
MENINGGALKAN kehidupan hitam silam bagi menceburi bidang dakwah bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah membesar dengan bergelumang dalam dosa dan maksiat.
Malah, dianggap lebih mencabar berbanding pendakwah yang mempunyai latar belakang bersih dan memperoleh pendidikan Islam secukupnya, penghijrahan yang ingin dilakukan golongan yang tidak mempunyai asas dalam ilmu agama itu adalah lebih sukar.
Namun, demi berkongsi sejarah hidup jahiliah yang berpandukan hawa nafsu dan syaitan itu sebagai iktibar individu lain, cabaran itu perlu ditempuhi bagi mengelakkan lebih ramai masyarakat agar tidak tersalah langkah melakukan perkara sama.
Itulah azam yang dipegang oleh pendakwah, Mohd. Khariri Mohd. Ramli yang mengambil keputusan berhijrah mendekati agama dalam masa sama bergerak menyebarkan dakwah dengan cara tersendiri.
Dia yang juga bekas mak nyah selama hampir 10 itu berkata, pengalaman membesar bersama pelacur sejak berusia 19 tahun dapat dijadikan perkongsian kepada masyarakat terutamanya golongan muda yang cenderung melakukan perbuatan terkutuk itu.
Namun, tidak semudah disangka, hasrat murni untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu ternyata tidak sunyi daripada ujian dan mendapat tentangan, terutamanya rakan yang pernah dikenali dahulu.
“Menjalani kehidupan ketika bergelar mak nyah bersama rakan segolongan melakar sejarah hitam yang meninggalkan pelbagai kesan buruk dalam hidup saya. Ini semua mengajar saya erti hidup sebelum mengambil keputusan untuk kembali ke pangkal jalan.
“Berbekalkan pengalaman hitam yang menimpa diri saya, suka saya untuk berkongsi kepada masyarakat, terutamanya generasi muda yang terlalu ghairah mengejar keseronokan supaya tidak tersalah langkah.
“Namun, ternyata tidak semudah itu. Usaha untuk berdakwah menerangkan kebenaran itu sering mendapat ujian daripada kenalan dahulu yang tidak boleh menerima perubahan diri saya kini,” katanya yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman, Pelabuhan Klang Selangor.
Akibat tertekan sering difitnah melakukan maksiat dan digelar tidak berguna dan lelaki lembut, mendorong Khariri yang lebih dikenali sebagai Cikgu Erin mengambil keputusan melarikan diri dari rumah untuk mengelakkan ia daripada berterusan.
Ternyata keputusan yang dilakukan memakan dirinya apabila tinggal bersama kenalan lamanya itu, secara tidak langsung membuatkan anak kelahiran Chemor, Perak itu mula terjebak dengan aktiviti tidak sihat untuk memperoleh wang.
Sehinggalah dia diserang sakit teruk selama hampir setahun kesan daripada perbuatannya telah mengetuk pintu hati Cikgu Erin untuk berubah, sekali gus bertekad untuk memulakan hidup baharu.
Dikejar ‘teman lelaki’
Berkongsi kejadian yang dilalui, Khariri berkata, sering diganggu menerusi telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) membuatkan pengacara program Jejak Rasul itu kadang kala merasa berputus asa untuk meneruskan dakwah.
“Selepas lebih 10 tahun meninggalkan dunia hitam, ramai kenalan yang saya temui dan mereka masih menganggap saya seperti dulu. Mereka masih mencari dan ada yang menunggu, sedangkan saya kini telah berubah.
“Malah terdapat isteri daripada kenalan lama saya menghantar SMS bertanyakan hal ini. Saya tidak mahu menjadi perosak rumah tangga orang atau dikaitkan sama sekali dalam masalah rumah tangga yang mereka hadapi.
“Ini kerana saya bimbang perkara ini akan berterusan dan menjadi fitnah yang boleh melemahkan semangat saya dan juga menjatuhkan reputasi saya untuk berdakwah,” ujarnya.
Cikgu Erin berkata, seolah-olah disihir oleh salah seorang teman lelakinya sehingga sanggup menggadaikan semuanya termasuk harga diri bagi menanggung hidup dan keperluan untuk teman lelakinya itu.
Sumber: Utusan