MUNGKIN ramai kalangan kita masih ingat bagaimana pernah dalam satu
ceramah politik, Anwar Ibrahim mendakwa bekas Menteri Kewangan, Tun Daim
Zainuddin ‘bawa lari’ RM2 bilion dalam sebuah pesawat MAS.
Perkara itu kemudian dibalas oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir yang secara sinis menyindir bekas timbalannya itu cakap ikut
suka hati dan tanpa logik akal hanya untuk memburukkan seteru politik
peribadinya.
Negarawan itu malah secara berseloroh berkata, bukankah lebih baik
Daim memindahkan sahaja wang secara pemindahan elektronik daripada
terpaksa bersusah-payah ‘memikul’ berguni-guni beg untuk lari ke luar
negara.
Cerita lucu itu nampaknya kurang dijadikan pengajaran oleh pentaksub
pembangkang kerana bagi mereka apa sahaja yang diucapkan tokoh
kesayangan puak itu diterima bulat-bulat tanpa banyak soal waima berbaur
fitnah.
Tentu ramai masih ingat bagaimana Anwar tanpa rasa bersalah ketika
Pilihan Raya Umum pada 2013 lalu mendakwa 40,000 pendatang Bangladesh
akan dibawa masuk ke Malaysia sebagai pengundi hantu kepada BN.
Bayangkanlah ramai termakan hasutan dakyah bohong itu yang akhirnya
terbukti palsu sengaja diada-adakan demi kepentingan siasah Anwar bagi
menyemai perasaan benci rakyat ke atas BN secara persepsi songsang.
Memetik kata-kata Dr. Mahathir, Anwar apabila bercakap pasti semua
orang akan percaya walaupun auta, waima dia jual ais krim kepada orang
Eskimo pun mereka sanggup beli walhal di keliling Artik itu sendiri
adalah ais.
Terbaharu, selepas kantoi dengan penangkapan bekas staf PetroSaudi di
Thailand yang terbongkar banyak cerita palsunya disebarkan portal
propembangkang di Malaysia, kali ini akhbar asing pula dieksploitasi
penuh licik.
The Wall Street Journal (WSJ) berpangkalan di Amerika
Syarikat (AS) pada Jumaat mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak memiliki duit berbilion-bilion ringgit yang disorok di
luar negara.
Bagaimanapun agak lucu, WSJ melaporkan pemimpin negara kita
boleh menyimpan duit itu konon dalam akaun peribadi, padahal jutawan di
dunia pun mustahil buat tindakan bodoh sedemikian yang terdedah mudah
dikesan.
Berita ini memang sensasi tetapi nampak gaya bagi umat Islam sendiri,
ramai terlupa sabda Rasulullah SAW yang meminta kita menyemak dahulu
kesahihan sesuatu laporan kerana bimbang ia datang daripada puak
munafik.
Jika diteliti laporan eksklusif WSJ itu sebenarnya ada
banyak keraguan dari segi tahap kebolehpercayaan maklumat, malah sumber
berita itu sendiri kononnya ‘penyiasat’ tidak bernama juga boleh diragui
kredibiliti.
Bagi yang pernah belajar Ilmu Hadis, ia macam perihal riwayat sanad atau latar belakang sumber akan ditolak sebagai Hadis Mauduk yakni palsu, bahkan ulama sendiri minta jangan beramal Hadis Daif atau bersifat lemah.
Begitulah telitinya Nabi Muhammad SAW mendidik umatnya tidak
terpedaya dengan berita diragui kebenaran kerana perkara itu sendiri
pernah berlaku pada zaman baginda apabila kaum munafik cuba menyebar
fitnah.
Bukanlah hendak menafikan kehebatan WSJ yang pernah merangkul 36 kali Pulitzer Prize
di AS (lebih kurang setaraf macam Hadiah Kajai di Malaysia) tetapi ada
kala beberapa laporan akhbar itu boleh dipertikai kesahihan.
Tidak hairanlah banyak negara pernah mengharamkan akhbar terlaris di
AS itu daripada dijual di negara mereka kerana laporan tidak tepat WSJ dibimbangi menjejaskan reputasi sentimen perniagaan negara berkenaan.
Ini bukanlah sesuatu pelik bahkan Presiden AS, Barack Obama sendiri sudah banyak kali jadi sasaran WSJ hanya kerana polisi pentadbiran beliau tidak selari dengan kepentingan pemilik utama akhbar itu, Rupert Murdoch.
Taikun mogul media antarabangsa itu dikenali kerana bijak mengeksplotasi imej WSJ berselindung sebagai akhbar perniagaan berpengaruh di peringkat global bagi ‘menekan’ mana-mana pihak yang dianggap seperti musuh.
Di AS, walaupun media kuasa besar dunia itu mendakwa bebas bersuara, hakikatnya laporan editorial mereka sudah ditentukan awal oleh si pemilik dan jika ingkar, padahnya syarikat akhbar itu akan diisytiharkan muflis.
Justeru, untuk meneruskan kelangsungan hidup, syarikat akhbar waima bertaraf gergasi sekali pun dengan jualan jutaan naskhah sehari terpaksa akur menjadi boneka dan menurut apa sahaja polisi pemegang saham terbesar.
Lebih dahsyat, jangan terkejut kebanyakan media Barat hakikatnya dikuasai gerakan Zionis antarabangsa yang sanggp melabur berbilion-bilion dollar bagi menjayakan agenda tersirat jahat mereka tanpa disedari sesiapa.
WSJ misalnya memang dikenali sejak dahulu sebagai pro-Zionis
sehinggakan sebarang laporan melibatkan kepentingan rejim Israel akan
ditapis bagi menggambarkan Palestin sebagai jahat manakala Yahudi pula
baik.
Sikap berat sebelah WSJ malah mengakibatkan pembaca di Eropah marah dan beralih kepada akhbar Financial Times yang berpusat di London, Britain kerana ia lebih objektif khasnya jika tercetus konflik Israel-Palestin.
Ini turut berlaku di jiran maju kita, Singapura apabila semua akhbar republik itu yang diuruskan GLC milik pemerintah, Singapore Press Holding; sejak berpisah daripada Malaysia pada 1965; terang-terang bias pro-Israel.
Pengalaman penulis sendiri berkhidmat di sana pernah menyaksikan rakyat negara pulau itu khasnya masyarakat Melayu memboikot Berita Harian Singapura ketika krisis di Palestin apabila laporan akhbar itu amat pro-Yahudi.
Mereka malah sanggup ke seberang tambak Johor membeli Utusan Malaysia
yang ketika itu berani memaparkan di muka depan gambar kesan
penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan masjid akibat serangan jahat
Israel.
Hakikatnya, WSJ mungkin dabik dada konon ia dapat sumber
eksklusif bagi ‘hancurkan’ Malaysia tetapi apakah nilai berita itu yang
diragui kebenarannya boleh dibanggakan di padang mahsyar kelak?
Sumber: Mynewshub.cc