Dalam Perjalanan Dari Madinah Ke Makkah, Azwan Ali Sempat Mengamuk Lagi?

Azwan Ali berselfie di perkarangan Masjid Nabawi As-Syareef di Madinah Al-Munawwarah
Selebriti yang terkenal "kaya" dengan kontroversi buruk, Azwan Ali, baru-baru ini dilaporkan mengamuk lagi dan tidak dapat menahan sabar meskipun dia sedang menunaikan ibadah umrah sambil berpuasa di tanah suci Makkah.

Jika sebelum ini dia puas "menembak" orang di sana sini di laman sosialnya, kali ini sebuah agensi pengurusan ibadah umrah pula dikatakan telah menjadi mangsa Diva AA yang sedang menunaikan umrah kali ke-8.

Dilapor bahawa perkara yang menaikkan darah Azwan di bumi Al-Haramain itu adalah berpunca dari kononnya bas yang membawanya dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah dikatakan lewat bertolak.

Gara-gara tidak berpuas hati, Azwan kemudiaan telah memuat naik perbualan WhatsApp bersama agensi yang membawanya ke tanah suci di laman Instagram dan mendakwa jadual perjalanan yang diatur mendatangkan masalah dan menyusahkan dirinya.

Bagaimanapun seorang pegawai agensi umrah lain yang pernah mengendalikan Azwan di tanah suci sebelum ini, tampil menerusi Facebook memberi penjelasan tentang pertikaian Diva AA di laman sosial tersebut.


Menurut Samuel Prince, sudah menjadi amalan biasa sejak bertahun-tahun untuk para jemaah umrah bertolak sekitar jam 10.00 pagi dari Madinah ke Mekah dan sebarang perubahan jadual umrah adalah satu perkara biasa sekiranya berlaku di sana.

Pegawai agensi itu turut mendakwa Azwan sebagai individu yang sangat cerewet sehinggakan pihak agensi sendiri penat melayan karenahnya.

“Kenapa saya ingin kongsikan perkara ini, kerana saya pun bekerja sebagai (ejen) menguruskan jemaah untuk menunaikan umrah. Dan dia pernah sekali pergi umrah dengan agensi kami.

“Kami penat nak layan kerenah dia sebelum pergi dan sampai di sana pun ada yang tidak puas hati,” ujar Samuel.

Begitulah gelagat Diva AA di Al-Haramain dan kami doakan agar Allah SWT memberikan hidayah serta mendorongnya untuk berubah sikap mencontohi akhlak Rasulullah SAW apabila kembali dari menunaikan ibadah umrah di sana. Semoga mabrur umrah Azwan kali ini. -Kedahnews.com