Dedah Akaun Peribadi, Khalid Ibrahim "Sekolahkan" Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pihak AmBank atau Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh mendedahkan wujud atau tidak nombor akaun yang kononnya didakwa Wall Street Journal (WSJ) sebagai milik Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bank berkenaan wajib merahsiakan maklumat peribadi pelanggan kerana isu itu tertakluk kepada Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).

“Tiada sebab Najib atau mana-mana menteri boleh mengeluarkan arahan kepada AmBank atau BNM agar rekod bank seseorang individu disiarkan. BAFIA halang AmBank dan BNM dedah pemilik akaun kontroversi tersebut.

“Jadi tiada siapa apa boleh desak dua bank itu untuk dedah apa sahaja yang tertakluk di dalam Akta BAFIA, jika didedah, kepercayaan rakyat termasuk dunia kepada sistem perbankan negara akan musnah,” katanya.

Abdul Khalid mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menggesa AmBank dan BNM mengesah atau menafikan sama ada nombor akaun yang didedahkan WSJ kononnya atas nama Najib benar-benar wujud.

Jelas Rafizi, langkah ini dapat memberi gambaran terbaik sama ada Najib benar-benar terlibat atau tidak dalam pengambilan dana berjumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rafizi yang mungkin kurang faham mengenai peraturan berkenaan pada tahun 2013 pernah didakwa di mahkamah di atas pertuduhan melanggar Akta BAFIA kerana didakwa mendedahkan maklumat sulit perbankan.

Untuk rekod, Abdul Khalid merupakan tokoh korporat dan beliau diingati ketika pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma syarikat pelaburan amanah yang diselia kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pada 1981, Abdul Khalid menjadi terkenal menerusi ‘serangan Subuh’ di Bursa Saham London, apabila PNB mencatat agihan 51 peratus syer dalam syarikat perladangan terbesar British iaitu Guthrie kurang dua jam.

Susulan kejayaan di luar jangkaan pihak British itu, Abdul Khalid kemudian dilantik sebagai CEO Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Berhad dari tahun 1995 sehingga 2003.

Dalam pada itu mengulas lebih lanjut, ujar Abdul Khalid, kenyataan Rafizi sekali gus dilihat mengelirukan orang ramai serta pelabur antarabangsa apabila sengaja menimbulkan persoalan isu kerahsiaan yang tidak harus terjadi.

Bagaimanapun katanya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan boleh memulakan siasatan ke atas kesahihan akaun bank yang didakwa WSJ serta Sarawak Report sebagai milik Najib.

“Akta BAFIA pula tidak tertakluk kepada kuasa SPRM sendiri untuk ‘masuk’ dan mula siasatan terhadap laporan media itu. Hasil siasatan harus diumum dan ia akan menyelesaikan kemelut yang melanda Najib sendiri,” ujarnya.

Pengguna media sosial tempatan turut berkongsi komen mempertikaikan laporan media terbabit apabila mereka cuba memasukkan wang ke dalam nombor akaun bank yang dinyatakan mendapati akaun tersebut tidak wujud.

Pada Ahad, Najib menegaskan, selaku perdana menteri yang dipilih rakyat, beliau tidak akan sesekali khianati rakyat dan harta benda negara ini berdasarkan ikrar angkat sumpah ketika dilantik ke jawatan berkenaan.

Malah tegas Najib, beliau tidak akan membenarkan anasir luar untuk menggugat dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat, sesuka hati mereka.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, pihak berkuasa kini menyiasat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan WSJ yang juga dilaporkan oleh Sarawak Report.