"Democratic Islamic Party" (DIP) Jadi Parti Serpihan PAS?

"Democratic Islamic Party" atau DIP?
Heboh diperkatakan tentang desas-desus yang mengatakan bahawa Parti KITA akan menjadi platform bagi golongan G18 dan pemimpin PasMa bagi memperjuang "wadah baru" perjuangan politik yang dikatakan telah "berkubur" di dalam PAS.

Sebuah portal politik, myKMU.net mengatakan bahawa sekiranya rancangan tersebut menjadi kenyataan, Parti KITA akan dikenali sebagai "Democratic Islamic Party" atau DIP, singkatan yang mirip kepada parti DAP.

Sumber berkenaan juga mengatakan bahawa DIP akan dipimpin oleh Presiden (Wadah Pencerdasan Ummah Malaysia (WADAH), Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, yang tertubuh sejak tahun 2005.

Manakala Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang tewas merebut jawatan Timbalan Presiden PAS pula bakal dilantik menjadi Timbalan Presiden DIP.

Memetik sumber, turut dijangka bakal meraih jawatan di dalam DIP ialah bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan calon Naib Presiden PAS yang tewas, Datuk Mahfuz Omar, namun bergantung sama ada mereka menerima tawaran PAS untuk menjadi AJK Pusat parti itu atau tidak.

Desas-desus berkenaan turut mendakwa gerakan penubuhan DIP itu sedang berusaha memujuk seorang tokoh ulama dari utara semenanjung untuk menyertai mereka.

Sementara itu, dikatakan juga bahawa peranan Adun Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi di dalam PasMa akan kekal sebagai NGO utama bagi menyusun strategi untuk bergerak dengan platform parti politik dan badan bukan kerajaan yang lain.


Malah desas-desus itu juga turut melontarkan pertanyaan sama ada benar atau tidak mengenai dakwaan yang mengatakan tentang RM140,000 yang dijadikan "bahan pelincir" bagi menjayakan rancangan pengambilalihan parti KITA oleh G18.

Kedahnews.com hingga kini masih gagal untuk menghubungi pihak terlibat untuk mendapatkan pengesahan mengenai desas-desus yang tersebar itu. 

Justeru itu, kami masih menganggap laporan berkenaan hanyalah merupakan khabar angin yang tidak dapat disahkan kebenarannya dan tidak wajar dipercayai buat masa ini.

Apapun, demi kestabilan politik negara, Kedahnews.com menyarankan supaya pihak terbabit memberikan kenyataan balas terhadap desas-desus berkenaan bagi mengelak kekeliruan para penyokong parti masing-masing. Wallahua'alam. -Kedahnews.com