Mahkamah Majistret menyambung tempoh tahanan reman selama tujuh hari mulai hari ini terhadap ibu tiri dan bapa kandung kanak-kanak perempuan yang didera di Rantau Panjang. - Foto BERNAMA |
PASIR MAS – Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini melanjutkan tahanan
reman selama tujuh hari terhadap dua suspek dalam kes dera seorang
kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Perintah lanjutan tahanan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret
Mohamad Redza Azhar Rezali bermula hari ini dan berakhir Ahad (12
Julai).
Lelaki berusia 39 tahun dan wanita berusia 25 tahun itu sebelum ini
ditahan reman selama empat hari bermula 29 Jun dan berakhir 2 Julai
lepas, dan disambung tiga hari serta berakhir semalam untuk siasatan
lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Kanak-kanak itu dilaporkan ditemui ibu kandungnya pada 24 Jun dalam
keadaan wajahnya cengkung dan seluruh badannya lebam serta dipenuhi
parut manakala tubuhnya membongkok dipercayai akibat patah tulang
belakang dan rusuk.
Pada hari sama, kanak-kanak itu dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan
Zainab II untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM). – BERNAMA