"Di Kedah Tiada Cerai, Yang Ada Cuma Dilaknat Allah.." - Pesuruhjaya PAS Kedah


SUNGAI PETANI  – “Biar depa (mereka) fikir sendiri,” demikian jawapan sinis Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi ketika ditanya sama ada bai'ah dilafazkan wakil rakyat parti itu pada pilihan raya umum lalu akan terus mengikat mereka jika keluar daripada Pas dan menyertai parti ditubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Menurutnya yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, bai'ah sememangnya terdapat dalam ajaran Islam dan sentiasa 'mengikat' mana-mana individu yang melafazkannya.

“Dalam Islam memang ada bai'ah dan kita melihat bai'ah ini mengikat orang yang membuat perjanjian. Sesiapa melafazkannya terikat dengan apa yang dijanjikan.

“Tentang itu (keluar Pas dan sertai GHB), biar dia fikir sendiri, terserahlah. Apa pun Majlis Syura Ulama akan tentukan. Kita tidak mahu campur kerana perkara itu datang dari atas (kepemimpinan ter­tinggi). Biar mereka buat keputusan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Pas Kedah di Bandar Amanjaya, Sungai Lalang di sini hari ini.

Yang hadir sama tiga timbalannya, Muhammad Sanusi Md. Noor, Datuk Najmi Ahmad, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman serta seluruh kepimpinan Pas negeri.

Difahamkan, segala dokumen berkaitan bai'ah itu sehingga kini masih disimpan oleh pimpinan Pas negeri melalui Setiausaha Perhubungannya.

Sementara itu katanya, bai'ah dilafazkan wakil rakyat Pas di Kedah tidak memasukkan frasa penceraian.

“Di Kedah, tiada cerai. Yang ada cuma dilaknat Allah dan sebagainya,” katanya.

Ditanya cabaran dihadapi Pas Kedah terutamanya melalui GHB dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang diasaskan di negeri ini, Ahmad Fakhruddin berkata, parti itu tidak berdepan dengan impak yang besar.

“Dalam politik Melayu dan Kedah, hanya UMNO dan Pas yang mendominasi selama ini. Kita ya­kin, parti-parti baharu yang ditubuhkan ini tidak akan memberi kesan besar,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Pas tidak akan menggunakan pendekatan populis, pragmatik dan sekular yang menggadai prinsip Islam semata-mata untuk meraih undi.

“Pas akan kekal relevan selamanya selagi mana kami berpegang teguh kepada Islam yang menjadi dasar perjuangan.

“Walaupun pegangan ini akan menyebabkan Pas dicemuh, dipenjara atau dibunuh, kami tidak boleh berubah daripada menuruti jalan selain Islam,” katanya ketika mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyatakan parti itu sudah tidak relevan dalam politik tanah air.

Sumber: Utusan