Mungkin sudah tidak tahan lagi melihat nasib badak sumbu yang dibunuh pada setiap enam jam di Benua Afrika, satu projek khas telah dijalankan bagi memasang kamera pada setiap "sumbu" atau tanduk haiwan terancam tersebut dari terus diburu secara haram.
Sekaligus menandakan bahawa strategi mengesan serta menangkap pemburu yang menjalankan kegiatan haram dengan membunuh haiwan-haiwan terancam dan dilindungi seperti badak sumbu telah ditingkatkan dengan kaedah terbaru itu.
Kamera tersebut telah direka cipta oleh seorang aktivis hidupan liar dari Britain yang membolehkan mereka menerima maklumat sepanjang masa melalui sistem yang dipanggil "Protect Rapid".
Alat pemantaun tersebut juga dilengkapi dengan kadar degupan jantung serta pengesan lokasi secara masa sebenar menerusi Global Positioning System (GPS).
“Penggera kecemasan akan berbunyi jika kadar degupan jantung haiwan ini meningkat untuk beri amaran kepada pusat pelindungan jika ada pemburuan,” kata Dr. Paul O’Donoghue, Ketua Penasihat Saintifik Protect Rapid.
Sehingga kini, kegiatan pemburuan secara haram gagal dihalang sebelum ia berlaku, namun dikatakan melalui kaedah itu para pemburu haram berpeluang untuk ditangkap sebelum berjaya membunuh badak sumbu tersebut.
“Badak sumbu kini dibunuh setiap 6 jam di benua Afrika, jadi kita perlu hentikan kegiatan seperti ini dan ambil inisiatif sendiri untuk selamatkan haiwan terancam ini,” katanya lagi. -Kedahnews.com