Dilantik Timbalan Menteri, Nur Jazlan Lepaskan Jawatan Pengerusi PAC


SALAH seorang timbalan menteri baru yang mengisi portfolio kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed perlu melepaskan jawatannya dengan segera.

Dalam pengumuman yang dibuat Perdana Menteri sebentar tadi, Nur Jazlan dilantik memegang portfolio Timbalan Menteri Dalam Negeri berkuatkuasa esok.

Ia berikutan perintah tetap Parlimen 77(4) yang menetapkan bahawa “tiada ahli yang dinamakan atau dilantik sebagai pengerusi atau Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara selagi ia adalah menteri kabinet”.

Sebelum ini, Nur Jazlan merupakan Pengerusi PAC dan terlibat dalam siasatan terhadap syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama Pejabat Ketua Audit Negara.

Dalam laporan The Malay Mail, Nur Jazlan berkata: “Saya perlu meletak jawatan. Semua perlu letak jawatan.”

Selain Nur Jazlan, empat lagi anggota PAC turut dipilih Najib menganggotai kabinetnya iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar Negeri), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius Tungau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Lantas itu, Nur Jazlan mengakui bahawa siasatan terhadap 1MDB akan terhenti buat sementara sehingga pengganti baru dilantik iaitu pada sesi Parlimen akan datang. -Kedahnews.com