Ibrahim mendukung singa peliharaannya Mona, sebelum melepaskan haiwan itu ke Jordan, Jumaat lalu. |
BANDAR GAZA – Dua anak singa yang dijadikan haiwan peliharaan di sebuah
kem pelarian di Gaza tiba di Jordan lewat kelmarin sebelum dibawa ke
taman hidupan liar.
Sebuah keluarga di Gaza membeli dua anak singa itu ketika masih kecil
daripada zoo tempatan yang musnah dalam perang antara Israel dan Hamas,
tahun lalu.
Dua singa itu yang dinamakan Mona dan Max dipelihara dalam rumah kecil mereka di Rafah.
Dua singa itu dan pengendalinya tiba di Jordan pada malam Ahad
selepas bertolak dari Gaza sehari sebelumnya, kata Dr Amir Khalil dari
pertubuhan kebajikan Britain, Four Paws.
Perjalanan mereka tertangguh Jumaat lalu apabila Four Paws cuba membawa singa berkenaan keluar dari Gaza melalui Erez.
Israel dan Mesir menyekat pergerakan keluar masuk dari Gaza sejak Hamas menguasai wilayah itu pada 2007.
Cogat – cabang tentera Israel yang mengendalikan pintu sempadan
antara Gaza dan Israel – berkata, kumpulan itu tiba di pintu sempadan
selepas ia ditutup.
Ia menyebabkan singa berusia setahun itu terperangkap di zon bebas di
kawasan sempadan apabila Hamas melarang mereka masuk semula ke Gaza.
Kumpulan itu terpaksa menunggu di sebuah hotel di Gaza berhampiran
sempadan sementara Mona dan Max ditambat di luar hotel sehingga pintu
sempadan dibuka semula, kelmarin. – AP