Ahmad (kanan) mengiringi jenazah anaknya ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani. |
SUNGAI PETANI - Di sebalik kemeriahan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri pada hari ke-27 Ramadan, sebuah keluarga di Pantai Prai berdukacita akibat kehilangan anggota keluarga.
Mangsa yang merupakan seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan dua motosikal.
Kejadian yang berlaku di Jalan Pinang Tunggal-Pantai Prai itu dikatakan terjadi kira-kira jam 2 petang menyebabkan Muhammad Amirul Ahmad, 13, yang baru pulang dari sekolah maut di lokasi kejadian.
Difahamkan, motosikal ditunggang Muhammad Amirul bersama rakannya, Muhammad Amjad Yusof, 13, serta seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal sendirian, Mohammad Izham Nazli, 15, dirempuh sebuah van yang dikatakan terbabas ke laluan bertentangan.
Rakannya, Muhammad Amjad, kritikal manakala Mohamad Izham cedera di kaki.
Bapa Muhammad Amirul, Ahmad Arshad, 52, berkata, anak sulung dari tiga beradik itu bersungguh-sungguh tidak mahu dibelikan baju raya lain tahun ini dan hanya meminta baju Melayu sahaja.
“Dia hanya nak baju Melayu sedondon sekeluarga warna coklat sahaja, tidak seperti tahun sebelumnya,” katanya.
Menurut Ahmad, dia hanya mengetahui tentang kejadian semasa berada di tempat kerja dekat kilang kelapa sawit di Mahang.
“Ada orang telefon memaklumkan anak kemalangan. Saya seakan-akan tak percaya kerana ingat mereka main-main dan cuba menghubungi isteri, Siti Khadijah Hasan, 48," katanya.
Bagaimanapun, panggilannya tidak dijawab menyebabkan Ahmad membuat keputusan pulang segera.
"Saya terkejut bila mengetahui anak bukan sahaja terlibat kemalangan namun sudah meninggal dunia," katanya.
Menurutnya, tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan tragedi ini sudah pasti suatu tamparan hebat.
Sementara itu, sumber polis mengesahkan pemandu van terbabit yang berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani di sini untuk proses bedah siasat.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Prai.
Sumber: Sinar Harian