Gambar Hiasan |
KEDATANGAN Ramadan setiap tahun, tentunya menjadi penghibur hati orang mukmin. Ini kerana sepanjang bulan itu, pelbagai ganjaran menarik ditawarkan oleh Allah SWT. Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan besar dalam bulan Ramadan adalah melalui sedekah.
Islam sering menganjurkan umatnya banyak bersedekah. Apatah lagi pada bulan Ramadan ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” (riwayat at-Tirmizi)
Lantaran itu, antara kegiatan yang cukup aktif di bulan Ramadan adalah kempen kutipan derma. Kutipan itu dilakukan atas nama kebajikan, amal jariah, pembangunan sosial dan juga agama.
Ini dikatakan melibatkan pelbagai institusi seperti rumah anak-anak yatim, rumah kebajikan, sekolah agama, pusat tahfiz, madrasah dan sebagainya.
Namun dibimbangi akan pihak yang tidak bertanggungjawab dan licik menjual nama agama dan mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk kepentingan peribadi.
Penipuan boleh berlaku sekiranya kempen sumbangan derma sebegini tidak dipantau atau dipandang remeh pihak berkuasa mahupun orang ramai. Kes-kes eksploitasi sebegini selalu berlaku, dan apabila penipuan itu dilakukan atas nama Islam maka ia boleh mencalarkan imeh agama suci ini. Ini akan memburukkan imej institusi Islam ibarat kata pepatah akibat nila setitik, rosak susu sebelanga.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui dan sedar akan kaedah terkini dalam menyemarakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan iaitu dengan mengirim borang sumbangan derma kepada individu tertentu yang dipilih secara rawak.
Namun, dalam masa sama menyedari dan mengakui kutipan derma menggunakan kanak-kanak jugau sebenarnya masih belum berkesudahan.
Meskipun tindakan pencegahan dan penguatkuasaan telah diambil, tetapi kegiatan itu masih tetap berleluasa.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, salah satu faktornya adalah kelicikan dalang yang terlibat yang sering mengubah modus operandi mereka bagi mengaburi mata masyarakat dan pihak berkuasa.
“Jika dahulu mereka menghantar kanak-kanak yang nampak kepenatan dan boleh menarik simpati orang ramai dengan menggunakan van tetapi kini mereka juga bergerak melalui teksi, kenderaan persendirian dan seumpamanya.
“Aktiviti kutipan juga beralih daripada kutipan atau jualan amal kepada kutipan menggunakan orang dewasa atas nama dana untuk bantuan bencana, kemanusiaan dan sebagainya,” katanya baru-baru ini.
Pelihara amanah waris
Semua itu digunakan atas nama madrasah atau pusat tahfiz yang menggunakan pelajarnya untuk meraih sumbangan atau derma orang ramai. Ada yang melihat ini sebagai tindakan yang memburukkan imej Islam.
Lebih mengharukan, apabila ada segelintir pengusaha madrasah atau pusat tahfiz mentarbiahkan penghuninya bahawa usaha mereka itu dianggap sebagai salah satu jihad agama.
Walaupun mungkin yang bertindak sedemikian hanyalah segelintir tetapi ia umpama sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia (Tahfiz), Datuk Mustapa Othman menegaskan, tindakan pengusaha itu telah membelakangkan amanah ibu bapa pelajar itu sendiri.
“Pengusaha tidak boleh berbuat demikian kerana pelajar itu diamanahkan untuk mendapat bimbingan agama dan bukannya mencari duit untuk tampung operasi madrasah atau pusat tahfiz.
“Tugas mencari dana adalah tanggungjawab pihak pengusaha sepenuhnya dan di pihak pelajar pula, mereka bertanggungjawab untuk belajar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Justeru, sekiranya peranan itu tidak mampu dilaksanakan oleh pengusaha, maka jalan yang terbaik adalah menutup sahaja madrasah atau pusat tahfiz itu.
Mereka tidak seharusnya menjadikan alasan dakwah atau saham akhirat untuk menghalalkan penggunaan pelajar mereka bagi memungut derma daripada orang ramai.
Malah beliau mengakui bahawa membuka madrasah atau pusat tahfiz tidak boleh dianggap sebagai saluran untuk berniaga tetapi ia lebih kepada saham akhirat sahaja.
“Bagi saya, adalah lebih baik mereka tutup sahaja dan serahkan pelajar yang ada kepada madrasah atau pusat tahfiz yang mampu, daripada dilabelkan sebagai mengkhianati amanah ibu bapa pelajar,” katanya.
Ilmu Pengurusan
Membuka madrasah atau pusat tahfiz tidak boleh hanya bersandarkan kepada kejayaan menamatkan pengajian Islam di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau luar negara atau sekadar mengenali individu yang berada dalam kategori kaya raya, maka sudah mendapat ‘lesen’ untuk mengusahakan institusi pendidikan Islam itu.
“Madrasah bukan hanya ada kaitan dengan belajar agama tetapi ia juga aspek guru, utiliti, buku, pentadbir, asrama, makan minum dan lain-lain lagi,” kata Mustapa yang turut mengusahakan sebuah madrasah di Beranang, Selangor.
Bagi beliau, seseorang pengusaha itu bukan hanya perlu ada pengalaman tetapi juga memiliki ilmu pengurusan sesebuah madrasah atau pusat tahfiz yang lengkap.
Ini kerana tanpa ilmu itu, mereka tidak akan terfikir apakah kos-kos tetap dan bukan tetap yang perlu dibereskan setiap bulan supaya pelajar dapat belajar dan tinggal di premis mereka dengan selesa.
Malah, ia juga akan membolehkan seseorang pengusaha itu bersedia atau mempunyai perancangan tertentu sekiranya dana yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan seharian.
“Tetapi apabila keadaan prasarana tidak memuaskan sehingga mengganggu proses pembelajaran, di samping persekitarannya tidak begitu kondusif dan untuk itu, mereka kerahkan pelajar mencari duit untuk menampung semua itu.
“Apabila terlibat dalam aktiviti kutip derma, bila masa penghuni hendak tumpukan kepada pelajaran sebab sudah pasti mereka dipaksa memungut derma dari pagi hingga petang,” katanya.
Sumber: Utusan