Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim |
MUAR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali
Ibrahim mengingatkan pihak tertentu termasuk pembangkang supaya tidak
mempertikaikan kod etika pemakaian di pejabat kerajaan.
Beliau berkata perkara itu tidak wajar dipersoal atau dipolitikkan
kerana tujuannya untuk memastikan warga negara ini bersopan, bermoral
dan berdisiplin semasa berurusan di kaunter awam.
Kod etika berpakaian sedia ada bukan ditujukan untuk mana-mana kaum
tetapi terpakai kepada semua dan isu itu tidak seharusnya diperbesarkan
untuk meraih publisiti atau mempunyai kepentingan tertentu, katanya
kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa
UMNO Bahagian Muar di sini hari ini.
“Pembangkang kalau tidak bersetuju mereka boleh memperkenalkan kod
etika pemakaian itu (tidak sopan) di negeri diperintah mereka. Kita mahu
melihat bolehkah orang awam memakai seluar pendek untuk berurusan atau
untuk bertemu ketua menteri dan menteri besar mereka,” katanya.
Razali berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa wanita
termasuk wartawan dihalang memasuki bangunan kerajaan kerana tidak
memakai pakaian sopan baru-baru ini.
Kod etika pemakaian Adun DAP Kinrara, Ng Sze |
Razali berpendapat tindakan itu adalah wajar dan sebagai cara
mendidik kerana ketika ini tatacara berpakaian di pejabat kerajaan yang
selaras dengan Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,
masih kurang dipatuhi.
“Kalau tidak mahu mematuhi dan mengikut selera masing-masing, kita
tidakmahu nanti ada yang datang ke pejabat kerajaan hanya memakai bikini
atau boleh berbogel di tempat awam,” katanya.
Beliau berkata tidak wajar kod etika berpakaian dilonggarkan hanya
keranabeberapa pihak enggan mematuhinya lalu membuat kecoh di media
sosial sedangkan berjuta rakyat negara ini tahu menghormatinya. –
BERNAMA