ALOR SETAR - Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah membuat satu laporan polis terhadap individu yang membuka sebuah laman Facebook palsu mirip kementerian tersebut.
Dalam kenyataan dari laman sosial rasmi KPDNKK di Facebook yang asli, admin laman berkenaan memberi amaran kepada orang mengenai akaun laman sosial KPDNKK palsu itu dan meminta supaya tidak terkeliru dengannya.
"AMARAN!!Satu akaun palsu facebook KPDNKK telah dikesan sejak semalam dipercayai bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.
"Pihak SKMM telah menghantar laporan kepada pihak facebook untuk sekat akaun tersebut serta laporan polis telah dibuat.
"Dimohon agar orang ramai tidak terpedaya dengan tindakan tidak bermoral ini. Akaun facebook KPDNKK boleh dilayari menerusi alamat www.facebook.com/myKPDNKK," tulis admin Facebook rasmi KPDNKK, hari ini.
Dipercayai kewujudan akaun laman Facebook KPDNKK palsu itu adalah gara-gara insiden di Plaza Low Yat baru-baru ini apabila segelintir pihak menuding jari pada kementerian itu kononnya membiarkan barangan tiruan dijual berleluasa di kompleks berkenaan.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa pihak KDPNKK tidak berhak untuk melakukan serbuan terhadap mana-mana premis selagi tiada sebarang aduan rasmi dari pengguna mahupun syarikat pengeluar barangan "original".
Semalam, Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menasihatkan supaya para pengguna dan mana-mana syarikat terbabit untuk membuat laporan pada bahagian penguatkuasa kementerian itu sekiranya menjadi mangsa penipuan barangan tiruan.
Jelasnya, melalui aduan yang dibuat, bukan saja KPDNKK akan berpeluang untuk menyerbu dan membasmi penjualan barangan tiruan di pasaran, malah pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan kembali bayaran ganti rugi dari pihak terbabit menerusi Tribunal Pengguna.
Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah |
Kelmarin, KPDNKK telah menyerbu kompleks Pertama berhampiran pusat membeli belah SOGO dan merampas telefon pintar serta aksesori yang bernilai RM500,000 dipercayai hasil aduan orang ramai dan syarikat pengeluar produk berjenama. -Kedahnews.com