Gambar Hiasan |
ALOR SETAR - Bermula hari ini hingga esok, rakyat di Kedah boleh mendapatkan daging lembu antara RM19 hingga RM22 sekilo pada Festival Daging Raya di pekarangan stadium Darul Aman dan beberapa pusat jualan lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, harga tersebut lebih murah berbanding di tempat lain yang dijual antara RM27 hingga RM30 sekilo.
Beliau berkata, ia bertujuan membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat bagi menyambut Aidilfitri.
"Hari ini kita sembelih 30 ekor lembu, esok 40 ekor yang harganya lebih murah berbanding di luar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival itu yang menyaksikan sambutan daripada lebih 2,000 orang pembeli.
Program itu dilakukan kerajaan negeri melalui kerjasama syarikat berkaitan kerajaan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (KLLPK).
KLLPK memperuntuk 70 ekor lembu sebelum dijual di perkarangan stadium dan daerah lain seperti Pendang, Naka, Bukit Kayu Hitam, Kuala Nerang, Kulim, Sungai Petani, Sik, Gurun, Kuala Ketil dan Pokok Sena.
Namun setiap pembeli hanya dihadkan sebanyak tiga kilogram daging bagi membolehkan lebih ramai memperolehnya. - Bernama