Gadis Muslimah Bertudung Litup, Tapi Bertindik Di Lidah... #Alahai...

Wajahnya dikurniakan Allah SWT sempurna cantik serta pemakaiannya pula sopan bertudung litup, tetapi sayang, terpapar sesuatu objek di bahagian lidahnya dan gadis berkenaan kini viral di media sosial gara-gara bertindik di lidah.

Terbayang di fikiran Kedahnews.com, tidak sakitkah bertindik lidah sebegitu? Paling utama, wajarkah seorang gadis muslimah meniru gaya dan budaya amalan barat?

Sebenarnya perbuatan bertindik adalah amalan yang sudah dikenali pada zaman Rasulullah SAW. Diriwayatkan dari Ibn Abbas katanya: 
“Pada suatu hari raya, selepas Baginda Nabi SAW solat dan berkhutbah, Baginda menuju ke kawasan perempuan dan memberi tazkirah khas kepada golongan wanita. Sambil Baginda SAW menyeru supaya mereka semua bersedekah. Ibn Abbas mengatakan bahawa: Aku melihat mereka mengisyaratkan kepada telinga mereka dan leher mereka. Lalu menyerahkan (barang perhiasan mereka) kepada Bilal,” (Riwayat Imam Bukhari)
Dalam hadis berkenaan, isyarat yang diberikan wanita (sahabiyyah) berkenaan adalah anting-anting. Ia perhiasan diketahui umum sejak dari zaman awal Islam dan perhiasan ini khusus kepada golongan wanita. 

Bagaimana pula mereka yang menindik di kawasan selain telinga? Perbuatan menindik selain dari kawasan telinga tidak pernah didengari pada zaman Nabi dan salafussaleh. Namun ia bukanlah jawapan yang menunjukkan keharusan amalan ini. 

Walaupun tidak dibincangkan secara khusus dalam nas jelas, namun perkembangan fiqh Islam tetap berkembang dalam menjawab setiap persoalan baru yang timbul hasil ijtihad ulama semasa. 

Islam mendatangkan kaedah umum dalam etika berhias antaranya perhiasan yang dikenakan mestilah tidak digambarkan seolah-olah meniru atau menyerupai orang kafir dan golongan fasik.  

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: 
“Sesiapa yang menyerupai suatu golongan itu, maka ia tergolong daripada golongan berkenaan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar) 
Larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan dan ibadah bukan saja mengkhususkan kepada menyerupai orang kafir, termasuk meniru perbuatan orang fasik (iaitu orang yang biasa melakukan maksiat). 


Jelasnya, amalan bertindik selain anggota telinga adalah amalan diambil bukan daripada golongan solihin. Ia budaya negatif remaja di Barat yang jelas jauh dari adat budaya tatasusila seorang Muslim. 

Islam melarang meniru kebiasaan dan gaya hidup orang lain tanpa membawa manfaat jelas.

Permasalahan mengenai tindik sudah dijelaskan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang menyatakan perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain cuping telinga adalah dilarang oleh Islam. -Kedahnews.com