Kecoh jadinya laman sosial apabila pengguna lebuh raya Jeli ke Grik, Kelantan diminta berhati-hati berikutan tersebarnya cerita konon terdapat sekumpulan gajah liar mengamuk hingga mengakibatkan sebuah kereta remuk teruk.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan menerusi satu kenyataan hari ini menyangkal cerita tersebut dan mendakwa ianya adalah berita palsu semata-mata.
Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, kejadian kemalangan jalan raya itu sebenarnya berlaku ketika hari raya kedua minggu lalu.
“Kemalangan itu berpunca daripada jalan licin akibat hujan turun di kawasan berkenaan dan bukan seperti berita palsu yang tersebar di media sosial.
“Mengenai gambar sekumpulan gajah itu pula, kita masih menunggu maklum balas dari Jabatan Perhilitan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai diminta berhenti dalam menyebarkan berita palsu yang tidak mendapat sebarang kesahihan daripada pihak berkuasa.
Sempena syawal ini, gajah pun jadi mangsa fitnah pengguna media sosial di Malaysia? -Kedahnews.com